PRU15: Armada Nasional gesa PN didaftar segera

Muzzammil Ismail
Muzzammil Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Nasional, Muzzammil Ismail menggesa Perikatan Nasional (PN) didaftarkan segera sebagai sebuah organisasi sah dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, perkara ini amat penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Parti-parti komponen PN yang telah memberi kesepakatan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera membentuk organisasi yang sah dalam tempoh waktu terdekat.

"Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku kerana pihak pembangkang pastinya sedang mencatur 1,001 cara untuk merampas semula kuasa melalui ‘pembelian’ ahli-ahli parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Yang di-Pertuan Agong menitahkan untuk pembubaran Parlimen, PN perlu didaftar terlebih dahulu bagi menjadi platform gabungan parti-parti politik Pas, Bersatu, UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional (BN) untuk dapat bergerak.

Katanya, penyokong-penyokong politik PN hari ini turut menyuarakan perkara yang sama.

"Pada PRU15 kelak, agihan pembahagian kerusi perlu dibincangkan melalui majlis presiden dan piagam atau perjanjian perlu dimeterai terlebih dahulu.

"Hanya selepas PN sah sebagai sebuah organisasi dan mempunyai struktur yang jelas barulah di peringkat jentera kempen, struktur di peringkat sayap seperti wanita dan pemuda boleh bergerak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muzzammil berkata, pihaknya di peringkat Pemuda, ada yang mengambil inisiatif sendiri memulakan gerak kerja secara tidak formal dalam mengukuhkan ukhuwah dan persefahaman antara sayap parti melalui program dan perbincangan.

Sebelum ini, Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) memutuskan enggan tergesa-gesa untuk mendaftarkan kerjasama politik di bawah entiti baharu PN dalam masa singkat.

Setiausahanya, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat susulan Barisan Nasional berpandangan, ia perlu melalui proses tertentu mengikut perlembagaan parti-parti yang bakal menyertai pakatan PN sebelum kerjasama itu akhirnya dimuktamad dan didaftarkan.

"Oleh kerana gabungan parti-parti dalam PN kini bekerjasama cukup harmonis dan sedang menguruskan pentadbiran negara dengan baik, maka kita perlu mengekalkan suasana itu," katanya.