Sultan Johor sedia bubar DUN Johor

Foto oleh Royal Press Office (RPO).
Foto oleh Royal Press Office (RPO).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor meluahkan rasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini kerana ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

"Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan. Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa.

"Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor (DUN) serta merta," titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda hari ini.

Baginda semasa merasmikan sidang DUN Johor Yang Ke-14 pada 14 Mei lalu bertitah, sekarang bukan masanya untuk pemimpin bertegang urat dan bertikam lidah untuk mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

Titah Sultan Johor, tindakan itu akan melahirkan satu virus lebih berbahaya iaitu virus perpecahan yang kini menular dalam pemimpin politik negara apabila berlaku pergolakan dan perebutan kuasa yang merunsingkan rakyat, menggugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

Pada 30 Mei lalu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi gambaran Pakatan Harapan (PH) mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum persidangan parlimen akan datang, yang dijangka bermula pada Julai.

Menurut Salahuddin yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai, gelombang perubahan kemungkinan bermula di Johor.

Artikel Berkaitan:

Sultan Ibrahim bertitah, pembubaran DUN Johor akan memberi peluang kepada rakyat negeri ini untuk memilih wakil rakyat yang baharu.

"Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri," titah baginda.

Baginda kemudian memetik satu hadis Rasulullah SAW berkenaan kepimpinan:

"Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan."

(Sahih al-Bukhari, no:7149)