Suami isteri dituduh memperdagangkan lima wanita Vietnam

Yeow Hin ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.
Yeow Hin ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini semalam atas pertuduhan memperdagangkan lima wanita warga Vietnam untuk tujuan pelacuran.

Bagaimanapun tertuduh, Yong Yeow Hin, 49, dan isterinya, Le Thi Kim Anh, 39, yang juga warga Vietnam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama memperdagangkan lima wanita warga Vietnam untuk tujuan eksploitasi seks.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah kafe dan pangsapuri di Taman Kenanga Mewah Seksyen 3 di sini kira-kira jam 9.40 malam pada 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam, Andrew Lourdes memohon jaminan rendah diberikan kepada anak guamannya dengan alasan mereka mempunyai anak.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh lelaki pernah disabitkan kes sama sebelum ini dan isterinya adalah warga asing.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang serta pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan 7 Julai depan.