Penggiat industri perkahwinan rayu kebenaran beroperasi

Penggiat industri perkahwinan terjejas berikutan penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu.
Penggiat industri perkahwinan terjejas berikutan penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Penggiat industri perkahwinan meminta kerajaan memberi kelonggaran bersyarat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membolehkan mereka terus beroperasi seperti yang diberikan kepada sektor ekonomi lain.

Pemilik Singgasana Catering and Wedding Planner, Aminah Abd Razak, 34, berkata, industri itu terjejas teruk hingga ada dalam kalangan mereka berkemungkinan 'gulung tikar' berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Menurutnya, beliau sendiri menanggung kerugian apabila pelanggan terpaksa membatalkan majlis perkahwinan dan meminta semula wang pendahuluan ekoran penguatkuasaan arahan larangan berhimpun.

"Sebanyak tiga tempahan pelanggan dibatalkan sepanjang tempoh PKP ini melibatkan pemulangan wang pendahuluan melebihi RM10,000.

"Selain itu, sebanyak lapan tempahan perkahwinan sebelum PKP pula terpaksa ditangguh ke hujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya kepada Sinar Harian.

Aminah yang telah berkecimpung dalam industri itu sejak lima tahun lalu berkata, secara puratanya sebelum perlaksanaan PKP lalu, beliau menerima lima hingga enam tempahan dalam tempoh sebulan dan jumlah itu meningkat setiap kali musim cuti persekolahan serta hujung tahun.

"Sekiranya industri ini masih tidak dibenarkan beroperasi kami terpaksa menanggung beban seperti menanggung kos ‘overhead' (tidak langsung) seperti gaji pekerja dan sewa premis perniagaan," katanya.

Katanya, penggiat industri itu berdepan cabaran besar bagi menjana sumber pendapatan termasuk menceburi bidang lain bagi meneruskan kehidupan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap rakan lain tidak berputus asa kerana kita masih boleh mencari peluang lain dengan melebarkan sayap perniagaan ke sektor tertentu menggunakan kaedah konvensional kepada moden yang berasaskan teknologi," katanya.

Menurutnya, beliau sendiri mengeluarkan produk makanan kering iaitu 'paru berlado' dan 'bilis kentang berlado' melalui sistem ejen serta perniagaan dalam talian selain perkhidmatan penghantar atau pembayaran tunai semasa serahan (COD).

Aminah terpaksa menceburi sektor baharu dengan menghasilkan produk makanan kering sepanjang musim PKP ini.
Aminah terpaksa menceburi sektor baharu dengan menghasilkan produk makanan kering sepanjang musim PKP ini.

"Sehingga kini, produk makanan kering ini berjaya terjual lebih 2,000 balang yang dipasarkan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Bagi pemilik butik pelamin Anjung Sham, Shamsi Selamat, pelanggannya terpaksa menangguhkan majlis sementara akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pihaknya akur dengan segala arahan kerajaan dan berharap satu mekanisme dapat diambil bagi membantu penggiat industri itu yang terjejas sepanjang PKP.

"Kita patuhi segala arahan kerajaan dan berharap ada pertimbangan sewajarnya dalam memastikan nasib perancang perkahwinan juga terbela," katanya.

Sementara itu, Penaung Intensive Wedding Thoughts and Actions (IWTA), Muhamad Nazrul Nazaruddin berkata, pihaknya sedang mengumpul petisyen IWTA bagi membuka ruang perbincangan antara penggiat industri itu dengan pihak berwajib.

Katanya, petisyen yang dilancarkan sejak Jumaat lalu itu telah ditandatangani seramai 3,000 penggiat industri terbabit.

"Petisyen ini menyasarkan 4,000 maklum balas dalam usaha membantu industri ini kembali beroperasi semula mengikut SOP ditetapkan," katanya.