Bersatu Kelantan mahu Muhyiddin kekal jadi PM

Datuk Kamarudin
Datuk Kamarudin
A
A
A

PASIR PUTEH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin terus kekal menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kelapan termasuklah mengemudi parti berkenaan dan kerajaan Perikatan Nasional.

Pengerusi Badan Pimpinan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berpandangan tiada keperluan untuk menukar 'pemandu' ketika negara sedang berperang melawan penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.

"Dalam situasi semasa berdepan kesan penularan Covid-19 yang memberikan impak buruk pada ekonomi negara, kita amat memerlukan kepimpinan matang, berpengalaman dan cakna dengan masalah rakyat serta tenang menangani setiap cabaran.

"Jadi kami berpandangan, Muhyiddin adalah orang yang layak untuk menggalas tanggungjawab itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun tiga bulan menerajui tampuk pemerintah negara menerusi kerajaan Perikatan Nasional, Muhyiddin dilihat telah berjaya menggalas tanggungjawab itu dengan baik dalam melawan Covid-19.

Katanya, justeru itu Muhyiddin dan barisan kepimpinan Perikatan Nasional perlu terus diberikan peluang untuk membuktikan keupayaan menerajui negara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Amatlah tidak wajar Muhyiddin diganggu gugat kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan sebagai presiden parti ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan: