Armada buat laporan polis terhadap Syed Saddiq

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat laporan polis berhubung sidang media yang diadakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggunakan nama parti itu bersama beberapa individu lain semalam.

Exco Armada Bersatu, Mohd Muzzamil Ismail berkata, pihaknya turut mengecam tindakan Ahli Parlimen Muar itu dan individu terbabit yang memutarbelitkan perlembagaan parti selain memberi tafsiran yang berniat jahat dan membelakangi keputusan parti.

Menurutnya, Syed Saddiq bukan lagi ahli Bersatu apabila keahliannya terhenti secara serta-merta berdasarkan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti.

"Sidang media Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam bertujuan untuk mengelirukan ahli parti, ahli Armada, melakukan penyamaran, salah guna kuasa dan berniat jahat. Beliau bukan lagi ahli Bersatu dan boleh didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.

"Sehubungan itu, kami (Armada) akan membuat laporan polis terhadap penyamaran Syed Saddiq kerana menggunakan nama parti dan bagi memberi amaran terakhir untuk dia, sebagai orang luar agar tidak lagi mencampuri urusan dalaman parti Bersatu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Syed Saddiq tiada hak guna jawatan Armada, Bersatu

Mohd Muzzamil berkata, Armada dan Srikandi Bersatu di peringkat negeri serta pusat berpendirian mengiktiraf dan memberi sokongan penuh terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku pengerusi parti menurut Fasal 16.9 perlembagaan parti.

Menurutnya, tindakan yang dilaksanakan Muhyiddin adalah sah mengikut Perlembagaan Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan parti.

"Amatlah tidak logik bagi ahli parlimen Bersatu tidak menyokong blok dan parti kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden Bersatu di dalam parlimen pada 18 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bahkan ini secara terang telah dinyatakan oleh mereka dalam notis kepada Parlimen untuk tidak mahu duduk bersama-sama blok kerajaan," katanya.

Menurut Mohd Muzzamil, keputusan Bersatu untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH) adalah keputusan majoriti Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 23 Februari lalu.

Katanya, keputusan tersebut turut diakui oleh Dr Mahathir dalam Perutusan Perdana Menteri Interim dan disusuli kenyataan media oleh Senator Datuk Wira Marzuki Yahya pada 24 Februari lalu bagi memaklumkan keputusan rasmi parti itu perlu diikuti ahli.

"Tindakan Setiausaha Kerja (SUK), Kapten Muhammad Suhaimi Yahya (B) perlu difahami, beliau hanya melaksana tugas sebagai pegawai awam parti untuk menyampaikan notis dan bukan memecat.

"Tindakan beliau tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Bersatu sebagai Ketua Pentadbir Ibu Pejabat Parti melalui sidang media kelmarin. Sebelum ini pada 27 Mei, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas selaku Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Bersatu memaklumkan kes tersebut tidak perlu dirujuk untuk tindakan Lembaga Disiplin Parti tetapi menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti," katanya.

Mohd Muzzamil berkata, jelas didapati Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Syed Saddiq bukan lagi ahli Bersatu.

Menurutnya, parti itu adalah milik semua ahli parti dan bukan milik mana-mana ahli yang berkepentingan.

"Perlaksanaan ‘rule of law’ perlembagaan Bersatu mestilah dipatuhi dan tiada sesiapa yang akan dikecualikan. Sudah-sudahlah menunggang suara akar umbi untuk tujuan peribadi.

"Sebaik-baik keputusan dalam berorganisasi adalah berlandaskan keputusan dari suara majoriti," katanya.

Mohd Muzzamil berkata, Armada meminta semua ahli Bersatu merapatkan saf dan menyokong serta mendokong kepimpinan Muhyiddin selaku presiden parti dan Perdana Menteri bagi mengukuhkan parti serta kerajaan.