X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP keluarkan kompaun RM205,000 seluruh negara

Penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan pematuhan di Dungun.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM205,000 sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM54,000 kompaun dikeluarkan membabitkan 46 kes tidak meletakkan tanda harga.

Menurutnya, kompaun berjumlah RM150,000 dikeluarkan membabitkan 23 kes kesalahan menjual melebihi harga maksimum dan satu kes kerana kesalahan gagal meletakkan tanda harga dengan kompaun RM1,000.

"Secara keseluruhannya, tindakan itu melibatkan 67 premis runcit dan tiga premis borong di seluruh negara.

"Kes tertinggi direkodkan adalah Johor dengan 19 kes diikuti Pahang sebanyak 16 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kes), Kedah (10 kes), dua kes di Selangor, Terengganu dan Sarawak manakala masing-masing satu kes di Perlis dan Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan terhadap harga dan bekalan barang kawalan semasa pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2020 di Pasar Payang hari ini.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, KPDNHEP juga melakukan rampasan bernilai RM12,036.94 dan membuat 22,852 pemeriksaan terhadap premis perniagaan sepanjang pelaksanaan SHMMP sempena Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang berakhir semalam.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 22,296 pemeriksaan dilakukan di kedai runcit manakala 556 lagi pemeriksaan di premis borong.

"Kebanyakan kes yang dikenakan tindakan adalah berkait kesalahan menjual barangan kawalan seperti ayam, telur dan sayur-sayuran melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

"Bagaimanapun kita dapati jumlah kes kesalahan yang direkodkan adalah kecil. Ini menunjukkan peniaga semakin bertanggungjawab dan mengambil inisiatif yang berhemah dalam menjalankan perniagaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus