PGA rampas RM1.4 juta arak, rokok seludup

Muhammad (kiri) menunjukkan barang-barang dirampas di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan minuman keras dan rokok seludup di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru hari ini.
Muhammad (kiri) menunjukkan barang-barang dirampas di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan minuman keras dan rokok seludup di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas minuman keras dan rokok seludup dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.4 juta di sebuah rumah di Bandar Baru Permas Jaya di sini hari ini.

Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner, Muhammad Abdul Halik berkata, sebanyak 500 kotak berisi dua jenama minuman keras terkenal dan 12 peti yang mengandungi 120,000 batang rokok dirampas dalam serbuan kira-kira jam 8.30 pagi itu.

"Kita turut merampas wang tunai RM20,800, 36 keping salinan kad pengenalan, dadah dipercayai ketamin seberat 0.5 gram, enam buah telefon bimbit dan tiga buah kereta.

"Kita menahan empat lelaki berusia 20-an hingga 30-an yang juga penjaga di rumah berkenaan dan mereka yang menguruskan kenderaan untuk membawa keluar minuman keras dan rokok tersebut," katanya dalam sidang akhbar di rumah tersebut hari ini.

Muhammad (kiri) menunjukkan minuman keras berjenama yang dirampas di sebuah rumah dijadikan stor penyimpanan barang seludup di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini.
Muhammad (kiri) menunjukkan minuman keras berjenama yang dirampas di sebuah rumah dijadikan stor penyimpanan barang seludup di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal minuman keras itu yang diseludup dari negara jiran dihantar ke restoran, kedai runcit dan kedai-kedai persendirian sekitar daerah ini serta zon selatan.

"Modus operandi adalah dengan menyewa rumah berkenaan dan tiga buah kenderaan diubah suai di tempat duduk penumpang belakang dan bahagian tempat simpanan barang bagi memudahkan menyorok barang seludup.

"Mereka juga menggunakan salinan kad pengenalan itu dan menggunakannya untuk membeli minuman keras di kawasan bebas cukai seperti di Stulang Laut dan Forest City, Iskandar Puteri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kejayaan itu adalah hasil maklumat awam sebelum pihaknya melakukan risikan dan siasatan selama kira-kira dua minggu.

"Kita percaya terdapat saki baki lagi anggota sindiket dan kita sedang memburu mereka. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata, pihaknya merampas minuman keras, rokok, hidupan liar dan barang terlarang lain berjumlah RM7.6 juta dari Januari hingga hari ini.

"Rampasan itu melibatkan 46 kes di Johor serta 21 kes di Selangor dan kejayaan itu adalah hasil risikan dan maklumat orang awam," katanya.