Liverpool ikut resipi kejayaan United, Chelsea

Liverpool meraih kejayaan demi kejayaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Liverpool meraih kejayaan demi kejayaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
A
A
A

LEGENDA Liverpool, John Barnes percaya kejayaan yang dinikmati The Reds ketika ini merupakan hasil daripada pelan perancangan jangka panjang dan kepercayaan yang tinggi diberikan kepada pengendali pasukan, Jurgen Klopp.

Menurutnya, ia resipi sama digunakan oleh beberapa kelab terkemuka seperti Manhcester United, Chelsea dan Manchester City yang memberikan kepercayaan dan dana yang besar kepada Sir Alex Ferguson, Jose Mourinho dan Pep Guardiola membawa pasukan mencipta kejayaan.

The Reds memberikan kepercayaan penuh kepada Klopp selepas dia dilantik selaku pengendali pasukan pada Oktober 2015 dan sedikit demi sedikit pengurus kelahiran Jerman itu mula menampilkan impak buat pasukan.

Liverpool kini mendapat keuntungan dari strategi jangka panjang mereka dan dana yang dilaburkan dalam beberapa jendela perpindahan membuahkan hasil termasuk menjuarai Liga Juara-Juara tahun lalu dan bakal menamatkan penantian 30 tahun menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Ini sentiasa menjadi resipi kejayaan setiap pasukan. Ferguson diberikan masa dan kepercayaan oleh United dan dia menggunakan kesempatan tersebut membina pasukan berkualiti.

“Chelsea juga sama dengan Mourinho berjaya membawa kelabnya itu menjuarai beberapa gelaran.

“Setiap kelab akan berjaya sekiranya pengendali pasukan diberikan sokongan dan sumber kewangan yang cukup untuk membina pasukan," katanya.

Dalam masa sama, Barnes turut percaya kualiti yang dimiliki Klopp dan penghormatan pemain kepada pengurus mereka menjadi salah satu faktor menyumbang kepada kejayaan Liverpool.

Artikel Berkaitan:

"Perkara paling penting ialah pemain tahu siapa yang bertanggungjawab dalam pasukan. Banyak pemain sekarang yang merasakan mereka lebih penting daripada pengurus pasukan.

“Kebanyakan pasukan mempunyai pemain yang besar kepala sehingga memberikan kesan kepada pasukan. Peranan pengurus terganggu apabila pemain dilihat lebih penting dalam pasukan.

“Saya tidak terkejut melihat Liverpool dan Manchester City sudah menjadi pasukan gergasi di England dalam tempoh dua tahun ini kerana pengurus memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan," katanya.