Wujud gerakan ajak ahli Bersatu keluar parti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak tidak menolak kemungkinan terdapat gerakan didalangi individu tertentu mengajak ahli-ahli keluar parti terbabit.

Ia susulan pemecatan lima Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti termasuk pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, gerakan tersebut dipercayai dilakukan bekas pemimpin parti di peringkat bahagian yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, semua ketua bahagian Bersatu di negeri ini tidak terlibat kerana mereka menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu.

Zainol Fadzi Paharudin
Zainol Fadzi Paharudin

“Dalam kalangan ketua bahagian sedia ada, tidak ada gerakan. Dalam kalangan mereka yang kalah pemilihan, mungkin ada. Adalah dengar mereka nak buat gerakan itu.

“Respons dalam kalangan ketua bahagian kebanyakannya mengikut perlembagaan dan undang-undang parti,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Zainol Fadzi berkata, berdasarkan pengalaman melihat krisis parti lain, setiap pemimpin mempunyai penyokong tersendiri yang akan mengikuti langkah pemimpin tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, katanya, sebahagian individu menyertai sesebuah parti bukan disebabkan perjuangan tetapi kerana mahu mengikut pemimpin tertentu.

“Kalau dari awal niat masuk parti bukan nak ikut parti, tapi nak ikut pemimpin sahaja, pada saya konsep berparti itu tak betul. Kita masuk parti sebab mendokong parti.

“Pemimpin akan datang dan akan pergi. Kalau kita ikut pemimpin, pemimpin itu pula tak ada parti, maka kita pun tak ada partilah.

“Tak guna masuk parti kalau ada individu macam ini. Tak ada bagi impak kepada parti sebab dia hanya mengikut pemimpin, tak menyumbang apa-apa kepada parti,” katanya.