Lain macam penangan jeli Cameron Highlands!

Hayati menunjukkan jeli yang dijualnya di Kea Farm. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Hayati menunjukkan jeli yang dijualnya di Kea Farm. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Buah strawberi memang terkenal di kawasan peranginan yang bersuhu sejuk malah pelbagai produk dihasilkan berasaskan buah tersebut.

Daripada stawberi dihasilkan coklat, gula-gula, jem, sambal malah nasi lemak namun berbeza dengan bekas chef yang menginovasi strawberi dan aloe vera atau lidah buaya.

Bukan sekadar memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya, Hayati Mohd Yaacob berkata produk, Jelly Cameron hasil air tangannya itu membantu dari segi kesihatan.

"Bahan utamanya aloe vera dan Cameron Highlands terkenal dengan strawberi jadi saya olah. Jeli ini untuk kesihatan, bukan seperti agar-agar atau puding.

"Kita makan jeli ini ada manfaat untuk tubuh badan kita. Dalam sehari-hari kita makan lemak, kolestrol jadi aloevera ini detoks tapi kalau kita makan perut kosong akan lebih sejuk badan," katanya kepada Sinar Harian.

Hayati menunggang motosikal setiap hari sekitar Kea Farm dengan memberi pelanggan merasai sendiri Jelly Cameron tersebut.

Pelanggan membeli Jelly Cameron selepas merasai keenakannya. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Pelanggan membeli Jelly Cameron selepas merasai keenakannya. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

"Saya dekati pelanggan yang baru selesai membeli belah di Kea Farm dan saya tawarkan mereka rasa jeli ini.

Artikel Berkaitan:

"Aloe vera dan strawberi saya guna yang asli bukan kordial. Setakat ini sambutan Alhamdulillah sebab orang tak biasa makan, apabila saya beri 'tester' mereka akan beli. Kalau saya tak beri rasa orang akan ingat agar-agar," katanya.

Menurutnya jeli itu boleh tahan di luar peti ais selama empat hari kerana tidak mengandungi bahan lain selain aloe vera dan strawberi.

"Jadi tak ada masalah untuk mereka yang nak berjalan lagi atau tak ada peti ais sebab saya tak guna agar-agar.

"Ada juga pelanggan yang 'repeat order' dengan pelbagai permintaan buah-buahan. Buah kiwi paling tinggi permintaan," katanya.