X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan darah HRPB berkurangan

Unit Perolehan Darah HRPB meminta kerjasama masyarakat yang prihatin bagi mengisi bekalan darah.
A
A

IPOH - Bekalan darah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh semakin berkurangan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Unit Perolehan Darah HRPB dalam satu kenyataan berkata, perkara itu disebabkan jumlah penderma yang merosot akibat kebimbangan masyarakat terhadap penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Kita memerlukan pengisian semula darah pada kadar segera bagi membantu pesakit-pesakit yang memerlukan.

"Sehubungan itu, tempoh PKP Bersyarat ketika ini diharap dapat digunakan oleh masyarakat yang prihatin bagi mengisi bekalan darah HRPB," katanya.

Kenyataan sama memaklumkan, Unit Perolehan Darah HRPB akan menganjurkan program derma darah di beberapa lokasi awam di bandar raya pada hari ini dan esok.

Katanya, lokasi hari ini di pusat beli-belah Aeon Kinta City bermula jam 11 pagi hingga 4 petang, Dewan St. John Ambulance (9.30 pagi - 3 petang) dan Persatuan Soka Gakkai Perak (9 pagi - 2 petang).

"Pada hari Ahad pula program derma darah akan diadakan di Aeon Kinta City dan Aeon Station 18, Pengkalan pada jam 11 pagi hingga 4 petang dan Dewan St John Ambulance (9.30 pagi - 3 petang)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus