Lukisan rumah tradisional Melayu lima dekad memukau

Lukisan rumah tradisional milik Allahyarham Wan Said yang dikagumi ramai.
Lukisan rumah tradisional milik Allahyarham Wan Said yang dikagumi ramai.
A
A
A

SELAYANG - Lukisan berusia lima dekad milik pelukis Allahyarham koperal Wan Said Wan Ahmad ternyata menarik perhatian ramai selepas cucunya berkongsi beberapa keping gambar di media sosial baru-baru ini.

Keindahan seni bina dan kehalusan ukiran rumah tradisional Melayu diadaptasi dalam lukisan berkenaan menonjolkan keunikan kediaman warisan Melayu.

Wan Mohd Hakimi Bin Wan Hamizi, 24, berkata, Allahyarham datuknya bekas Tentera Udara Diraja Persekutuan mempunyai lebih 100 koleksi lukisan yang masih dalam keadaan baik.

Antara ratusan koleksi lukisan dijaga Mohd Hakimi.
Antara ratusan koleksi lukisan dijaga Mohd Hakimi.

"Atok memang suka melukis kerana itu hobinya. Saya sangat teruja kerana melihat lukisan Atok dan kagum dengan ketelitian serta teknik yang digunakan untuk menghasilkan kesemua lukisannya," katanya kepada Sinar Harian.

Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, lukisan 'paling tua' berusia 56 tahun yang dihasilkan pada tahun 1964.

"Bakat melukis Atok membuatkan saya jatuh cinta kepada semua lukisannya dan terus merakam gambar kehalusan seninya sebagai kenangan," katanya.

Menurut Wan Mohd Hakimi, beliau mungkin mewarisi kebolehan datuk dan bapanya yang meminati bidang fotografi.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai keaslian rumah tradisional Melayu, Mohd Hakimi menjelaskan reka bentuk rumah tradisi tersebut dipercayai berasal dari Kedah.

Allahyarham Wan Said Wan Ahmad (bawah, tiga dari kiri) anggota yang menjadi perintis Tentera Udara Diraja Persekutuan telah ditukarkan daripada Tentera Udara Diraja British pada bulan November 1958.
Allahyarham Wan Said Wan Ahmad (bawah, tiga dari kiri) anggota yang menjadi perintis Tentera Udara Diraja Persekutuan telah ditukarkan daripada Tentera Udara Diraja British pada bulan November 1958.

"Mengikut cerita ayah, rumah moyang saya seakan-akan dalam lukisan, pemandangan sawah di sekitar Alor Setar dan Sungai Petani.

"Lagipun arwah Atok memang berasal dari Alor Setar," katanya.

Bercerita lebih lanjut, bakal graduan bidang Sains dan Teknologi Alam sekitar itu menjelaskan lukisan itu tidak dijual walaupun mendapat banyak permintaan dan menawarkan harga lumayan.

"Lukisan ini ada nilai sentimental, ia bukan sekadar koleksi kami tapi khazanah berharga keluarga.

Karya tersebut buat masa ni akan dipulihara semula dan disimpan lebih rapi juga dikatalogkan," katanya.

Menyifatkan karektor datuknya seorang yang teliti, berseni dan pendiam, arwah pernah bekerja sebagai kerani di Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman sebelum meninggal dunia tahun 1989.

Mohd Hakimi juga menceritakan, arwah datuknya salah seorang anggota yang menjadi perintis Tentera Udara Diraja Persekutuan telah ditukarkan daripada Tentera Udara Diraja British pada bulan November 1958.

Sementara itu, Mohd Hakimi juga memuat naik beberapa keping lukisan tersebut di akaun Twitter miliknya hingga meraih 28,800 tanda suka dan 13,100 ulang kongsi dari netizen.

Hari ni aku discover ratusan arwah tok abah punya watercolor painting. Mostly bermotifkan pemandangan kampung. pic.twitter.com/WCqaz1RHqU

— KÆmi (@theamazingkimi) May 26, 2020