X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja kurier maut dilanggar pemandu mabuk

Anggota polis sedang menyiasat di lokasi kejadian di Lebuh Raya Persekutuan.
A
A

PETALING JAYA – Seorang pekerja syarikat kurier tidak sempat menikmati gaji pertamanya selepas maut dilanggar pemandu mabuk di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ketika kejadian pada jam 6 pagi, mangsa berusia 42 tahun membonceng motosikal ditunggang rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Semasa di lokasi kejadian, sebuah kereta dipandu oleh seorang pelajar institut pengajian tinggi swasta telah hilang kawalan dan melanggar motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya.

“Ujian kandungan alkohol ke atas pemandu berusia 22 tahun itu mendapati dia memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, rakan mangsa berusia 30 tahun cedera parah dan kini berada di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Nik Ezanee memaklumkan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya telah melaksanakan operasi di Jalan PJS 8/9 di sini pada jam 12.01 tengah malam sehingga 2.30 pagi tadi.

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 35 pengguna jalan raya dan kenderaan telah diperiksa.

"Kita mengeluarkan dua saman bagi kesalahan tiada lesen memandu.

"Seorang warga tempatan berusia 28 turut ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol setelah ujian saringan alkohol dibuat ke atas dirinya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkasakan lagi Op Alkohol bagi mengekang dan membanteras kesalahan-kesalahan yang melibatkan pengguna jalan raya memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Pemanduan di bawah pengaruh alkohol ini boleh membahayakan keselamatan dan menyebabkan kematian orang lain,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus