Lelaki lepas geram bakar kereta mentua

Kereta yang dibakar suspek ditemui di Jalan Senggang sebelum mangsa membuat laporan polis. - Foto IPD Perak Tengah. Gambar kecil:Barudin Wariso.
Kereta yang dibakar suspek ditemui di Jalan Senggang sebelum mangsa membuat laporan polis. - Foto IPD Perak Tengah. Gambar kecil:Barudin Wariso.
A
A
A

PARIT - Seorang lelaki bertindak membakar kereta bapa mentuanya untuk melepaskan geram dalam kejadian di Jalan Senggang di sini semalam.

Difahamkan, lelaki yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Kuantan, Pahang itu bertengkar dengan isteri dan bapa mentuanya pada jam 11 malam Rabu lalu sebelum dia keluar rumah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kereta jenis Myvi putih milik mangsa disedari hilang pada jam 7 pagi keesokan hari selepas dilihat tiada di parkir di halaman rumah.

Menurutnya, mangsa mengetahui suspek memiliki kunci pendua kenderaan tersebut.

"Pada hari yang sama jam lebih kurang 1.30 petang, sebuah kereta ditemui terbakar di tepi Jalan Senggang di sini dan mangsa berhenti di tepi jalan mengesyaki kereta itu miliknya berdasarkan empat rim kereta berwarna hijau serupa dengan keretanya.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga selain meminta pihak polis membuat siasatan," katanya kepada pemberita hari ini.

Barudin berkata, berdasarkan laporan tersebut, suspek ditangkap di Kuantan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah untuk siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal di lokasi kereta itu terbakar tidak menjumpai sebarang butiran kenderaan kerana kenderaan tersebut musnah 100 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," katanya.