X

Kindly register in order to view this article
!

Saya tiada kena mengena dengan Seksyen 14A: Zolkifli

Dari kiri: Khaliq Mehtab, Zolkifli dan Dr Afif
A
A

GEORGETOWN - "Saya wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sehingga saat ini masih lagi bersama Bersatu."

Itu reaksi ringkas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Zolkifli berkata, tindakannya yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang tidak ada kena mengena dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi PH, Chow Kon Yeow.

Terdahulu dalam sidang akhbar semalam, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang menyatakan Dua ADUN Bersatu yang menarik semula sokongan terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang perlu mengosongkan kerusi mereka.

Kon Yeow berkata, ADUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Zolkifli perlu berbuat demikian selaras dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Katanya, mengikut undang-undang berkenaan ahli yang berhenti menjadi ahli parti yang diwakilinya semasa pilihan raya atas apa juga alasan perlu mengosongkan kerusinya.

Kon Yeow berkata, Majlis Pimpinan PH yang bermesyuarat semalam juga memutuskan untuk melucutkan kedua-dua ADUN Bersatu sebagai ahli kerajaan PH dan segala hak dan kelayakan mereka sebagai ADUN kerajaan negeri dibatalkan serta-merta.

Katanya, tindakan sama turut dikenakan terhadap ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang pada masa ini digantung keahliannya oleh PKR.

"Bagi Dr Afif kelayakan sebagai ADUN kerajaan negeri digantung serta merta sehingga keputusan muktamad mengenai statusnya dibuat oleh pimpinan PKR," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua ADUN Bersatu perlu kosongkan kerusi

Sementara itu usaha Sinar Harian mendapatkan ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq tidak berjaya selepas panggilan tidak dijawab dan kiriman WhatsApp tidak dibalas.

Dalam pada itu, ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin juga tidak dapat dihubungi dan difahamkan beliau baru sahaja dibenarkan keluar daripada hospital hari ini selepas mengalami kemalangan kecil ketika berbasikal semalam.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dua ADUN Bersatu menarik semula sokongan terhadap kerajaan negeri PH.

Mereka mengambil keputusan itu selepas menyatakan pendirian untuk bersama parti Bersatu dan menyokong kepimpinan presiden merangkap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Zolkifli, mendakwa namanya telah digugurkan daripada senarai majlis kerajaan negeri sejak kebelakangan ini dengan beliau tidak diundang untuk menghadiri majlis penyerahan bantuan kepada nelayan di kawasan Balik Pulau baru-baru ini.

"Saya bersama parti dan kini parti bukan lagi bersama PH, jadi saya juga sama. Kami kini menjadi sebahagian daripada pembangkang di Pulau Pinang," katanya.

Baru-baru ini, Khaliq Mehtab dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), sebuah agensi di bawah kerajaan pusat manakala Zolkifli dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Mara Corp Sdn Bhd, satu cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus