Dari mana datangnya angka 129: Mohamed Azmin

Azmin (duduk kiri) selepas mengunjungi Muhammad Sanusi (duduk kanan) di Wisma Darul Aman hari ini.
Azmin (duduk kiri) selepas mengunjungi Muhammad Sanusi (duduk kanan) di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - "Saya pun tidak tahu dari mana datangnya angka 129 itu," kata Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan sejumlah 129 ahli Parlimen yang kini telah memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, perkara tersebut tidak sepatutnya dibahaskan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan itu pada penghujung Februari.

Azmin turut menegaskan, rakyat tidak perlu lagi diheret dalam kemelut politik dan pihak yang mempertikaikan perlu memahami bahawa pelantikan Perdana Menteri kelapan telah dilakukan secara telus oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Saya kira titah Duli Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dalam perasmian pembukaan Parlimen baru-baru ini jelas selepas apa yang berlaku beberapa bulan lalu telah menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan.

"Perkara itu telah dimuktamadkan mengikut peruntukan Perlembagaan undang-undang dan sekarang adalah masa untuk tumpukan khidmat kepada rakyat dalam negara dan di peringkat negeri," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor hari ini.

Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan blogger PH, Shahbudin Husin melalui Facebooknya mendakwa Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan bagi menggantikan PN.

Jelas Shahbudin, PH kini mempunyai sokongan 129 ahli Parlimen dan mereka akan memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi mempersembahkan jumlah sokongan dan Anwar kekal sebagai bakal Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Mohamed Azmin turut meminta mana-mana pihak tidak menyalahkan PN secara berterusan sedangkan ia berpunca daripada tindakan Dr Mahathir yang meletakkan jawatan Perdana Menteri sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Cukup cukuplah, jangan salahkan Perikatan Nasional kerana apa yang berlaku kerana ada seorang Perdana Menteri meletakkan jawatan. Nak salah siapa kalau itu kehendaknya. Bila berlaku kekosongan perlu diisi, itu sahaja," katanya.