Bola Sepak: Kerajaan negeri bantu KFA

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor - Foto Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor - Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN negeri memandang serius isu yang sedang dihadapi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan akan berusaha membantu persatuan itu terutama dalam soal tunggakan pembayaran gaji barisan pemainnya.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun KFA bukan sebuah agensi kerajaan namun sukan bola sepak amat diminati oleh semua lapisan rakyat negeri ini, justeru itu ia perlu dibantu untuk keluar daripada kemelut yang dihadapi.

“Kita kena jaga sukan (bola sepak) ini untuk orang ramai, kerajaan negeri akan rujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan langkah diambil bertepatan dengan FAM sebagai badan induk yang mengawal bola sepak,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mengulas peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk pembayaran gaji pemain yang diumumkan kerajaan negeri terdahulu pada 19 Mei lepas, beliau berkata ia sebenarnya belum diluluskan lagi.

“Ia baru dicadang, dibentang dan belum dibuat bayaran lagi RM1.5 juta itu kerana dalam mesyuarat hari ini, saya dimaklumkan keputusan itu dibuat terlalu hampir ketika pentadbiran kerajaan negeri berubah sebelum ini.

“Jadi, pihak pentadbiran kerajaan negeri berpandangan sebaiknya kelulusan peruntukan sebesar itu perlu dibuat oleh kerajaan yang baharu, jadi kita akan pertimbang untuk meneruskan kelulusan itu di samping memikirkan inisiatif lain untuk selesaikan masalah (dalam KFA),” katanya.

Muhammad Sanusi turut menggesa bekas Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir supaya menyelesaikan masalah berbangkit dalam KFA, termasuk mengenai kedudukannya sebagai presiden persatuan itu.

“Beliau letak jawatan sebagai Menteri Besar, tidak semestinya letak jawatan sebagai presiden KFA sebab ia perlu dibuat dalam mesyuarat badan induk itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap pihak persatuan, termasuk presiden, selesaikan masalah berbangkit dalam KFA termasuk beberapa kontrak yang ditandatangani dengan pihak ketiga tanpa membuat kajian kewangan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga mendakwa bahawa kontrak yang ditandatangani itu menyumbang kepada komitmen terlalu besar sehingga mengakibatkan KFA berada dalam prestasi kewangan yang tenat. -Bernama