Kemalangan maut: Lebuh raya Tanjung Malim-Behrang terhalang

Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan terlibat sedang dijalankan.
Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan terlibat sedang dijalankan.
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Seorang penumpang van syarikat keselamatan yang membawa muatan wang, maut selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam nahas dengan dua lori di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) berhampiran Behrang hingga menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, Iruwan, 39, yang duduk di bahagian penumpang belakang van meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu lori membawa muatan diesel dari arah Klang ke Slim River disyaki telah gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar belakang van dinaiki mangsa.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan van berkenaan melanggar pula belakang sebuah lori yang membawa sayur.

"Akibat perlanggaran itu, seorang lelaki yang duduk di bahagian belakang van meninggal dunia di lokasi tempat kemalangan.

"Pemandu van cedera parah dan seorang lagi penumpang cedera ringan manakala kedua-dua pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Laluan lebuh raya kedua-dua arah terhalang.
Laluan lebuh raya kedua-dua arah terhalang.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah digerakkan ke lokasi berikutan berlakunya tumpahan diesel daripada lori tangki terbabit.

Setakat jam 4.20 petang tadi, laluan di kedua-dua arah masih lagi perlahan berikutan kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan sedang dijalankan.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laman Twitternya memberitahu, lorong kecemasan arah selatan telah dibuka untuk mengurangkan kesesakan di kawasan kemalangan.

Mandatori exit arah utara di Plaza Tol Tanjung Malim telah dibuka manakala arah selatan di Plaza Tol Behrang masih lagi aktif.