'Tok Mat pelopor kewartawanan terulung'

Allahyarham Datuk Ahmad Abdul Talib
Allahyarham Datuk Ahmad Abdul Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian bekas Pengarah Eksekutif Media Prima Berhad, Allahyarham Datuk Ahmad Abdul Talib yang meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat sakit kanser hari ini merupakan satu tamparan besar kepada industri media tempatan susulan kehilangan seorang pelopor bidang kewartawanan terulung.

Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang berkata, Allahyarham Ahmad atau lebih dikenali Tok Mat dalam kalangan rakan terdekat adalah merupakan seorang tokoh wartawan sangat disegani dan dihormati susulan pencapaian besar beliau dalam bidang itu.

Menurutnya, Allahyarham Tok Mat juga merupakan antara rakan wartawan pertama dikenali beliau bersama-sama seorang lagi tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaafar sejak menceburkan diri dalam bidang kewartawanan pada 46 tahun lalu.

"Allahyarham Tok Mat merupakan antara sahabat saya paling rapat sehingga penghujung hayatnya, bahkan tidak keterlaluan hubungan kami boleh dikatakan sudah lebih daripada adik-beradik.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wartawan, Allahyarham bukan sahaja sentiasa meletakkan standard tinggi dalam setiap penulisan artikel dihasilkan, malahan sangat cakna dengan perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Azman turut mendedahkan tahap keakraban beliau bersama Allahyarham Tok Mat dan Johan sehingga pernah mewujudkan sebuah grup WhatsApp khas bersama sejak tiga tahun lalu.

"Kami bertiga sering berbicara mengenai apa jua perkara sehinggalah Tok Mat mula kurang aktif menggunakan aplikasi media sosial itu susulan terpaksa menjalani rawatan kanser hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya sejak awal bulan ini.

"Kami bersedih dengan pemergian Allahyarham dan agak sedikit terkilan tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada jenazah beliau berikutan kekangan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tokoh wartawan, Datuk Kadir A Jasin menganggap Allahyarham Tok Mat sebagai sebagai seorang wartawan tulen yang mempunyai pengalaman dan pembabitan sangat luas dalam industri media tempatan.

Menurutnya, beliau juga merupakan seorang yang sangat baik, berdedikasi dalam kerja serta merupakan antara sebilangan kecil wartawan Melayu yang mampu menulis dalam dwibahasa.

"Allahyarham sudah saya anggap lebih daripada sahabat kerana beliau adalah rakan serta pembantu saya untuk satu jangka masa sangat panjang.

"Tidak keterlaluan saya menganggap Allahyarham sebagai protege saya susulan setiap langkah saya buat sewaktu meniti perjalanan karier kewartawanan, beliau akan mengikuti saya bermula di Bernama sehingga ke akhbar News Strait Times," katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai meluahkan kesedihan di atas pemergian Allahyarham Tok Mat petang tadi.

Menurutnya, beliau dan Allahyarham sering terpilih bersama untuk membuat liputan di luar negara sebagai wartawan suatu ketika dahulu terutama dalam program lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Beliau merupakan wartawan berpengalaman yang mempunyai kemahiran bertanyakan soalan tajam kepada ahli-ahli politik tetapi sentiasa mempamerkan keperibadian tenang.

"Allahyarham Tok Mat akan sentiasa diingati dan bakal menjadi contoh teladan utama generasi wartawan tempatan pada masa hadapan," katanya.