Peniaga dikompaun RM10,000 jual topeng muka mahal

Penguat kuasa KPDNHEP Kemaman memeriksa topeng muka di kedai yang menjual dengan harga melebihi harga kawalan. - Foto KPDNHEP Terengganu
Penguat kuasa KPDNHEP Kemaman memeriksa topeng muka di kedai yang menjual dengan harga melebihi harga kawalan. - Foto KPDNHEP Terengganu
A
A
A

KEMAMAN - Padah menjual harga topeng muka melebihi harga kawalan, seorang peniaga kedai runcit sekitar Taman Chukai Utama di sini dikompaun sebanyak RM10,000 hari ini.

Peniaga itu dikesan menjual 70 unit topeng muka jenis tiga lapis dengan harga RM2.40 seunit oleh sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kemaman sedangkan harga ditetapkan adalah RM1.50 seunit.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, semasa pemeriksaan sekitar jam 12 tengah hari di dalam premis tersebut, seorang wanita berusia 45 tahun yang merupakan pemilik premis telah dikenakan kompaun.

Menurutnya, kesemua ekshibit bernilai RM168 dirampas dan siasatan akan dibuat mengikut peruntukan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saharuddin berkata, harga jualan runcit bagi topeng muka yang dikawal ialah 15 sen seunit bagi jenis satu lapis, 20 sen seunit bagi jenis dua lapis, RM1.50 seunit bagi jenis tiga lapis dan RM6 seunit bagi jenis N95.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) katanya, KPDNHEP Terengganu telah menjalankan 5,798 pemeriksaan dan menghasilkan 87 kes melibatkan nilai kompaun sebanyak RM33,000.

"Kita juga menerima 205 aduan daripada orang awam dan telah diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang aduan atau kemusykilan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Terengganu dan semua cawangan yang beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 6 petang melalui pelbagai saluran disediakan," katanya.