Hari Raya pun nak merempit

Lima antara 10 motosikal yang disita dibawa ke IPD Kemaman di sini untuk tindakan lanjut - Foto Ihsan FB IPD Kemaman
Lima antara 10 motosikal yang disita dibawa ke IPD Kemaman di sini untuk tindakan lanjut - Foto Ihsan FB IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Tindakan 10 penunggang motosikal yang melakukan aksi 'wheelie' mengundang padah apabila enam daripada mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, serbuan pertama dilakukan di Jalan Chukai, Air Putih di sini kira-kira jam 6.30 hingga 6.45 petang.

"Setibanya di lokasi, didapati kawasan tersebut dipenuhi ratusan 'mat motor' yang sedang menyaksikan aksi daripada lima mat rempit sebelum mereka bersurai sejurus menyedari kehadiran anggota polis.

"Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan tiga daripada lima mat rempit tersebut manakala dua daripadanya meloloskan diri dengan meninggalkan motosikal masing-masing di lokasi.

"Hasil soal siasat, ketiga-tiga lelaki itu memaklumkan merempit hanya sekadar suka-suka dan tidak melibatkan sebarang aktiviti pertaruhan sesama mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan di Jalan Bukit Kuang di sini antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi semalam.

"Dalam serbuan itu, tiga daripada lima mat rempit ditahan kerana didapati menunggang dengan membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.

Jelas Hanyan, dalam dua serbuan itu, selain enam mat rempit berusia antara 18 hingga 25 tahun dicekup, sejumlah 10 buah motosikal turut disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

"Daripada pemeriksaan itu juga, sebanyak 30 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar, tidak patuh arahan polis, melanggar lampu isyarat dan mengubah suai ekzos," katanya.

Kedua-dua serbuan dijalankan dengan kekuatan seramai 20 pegawai dan anggota daripada 'team Hilux Hitam' dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Kemaman hasil risikan dan maklumat awam.