X

Kindly register in order to view this article
!

'Saya mahu mohon maaf dengan mangsa samun'

Orang Di Selia (ODS) mendapat didikan agama sepanjang menjalani hukuman penjara di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 Kuantan.
A
A

KUANTAN - Kalau diizinkan ALLAH saya mahu berjumpa dan memohon maaf dengan mangsa samun yang pernah saya cederakan lima tahun lalu, kata Aidil, 25, bukan nama sebenar.

Dia yang kali empat menyambut Aidilfitri di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 Kuantan kerana kesalahan melakukan samun bersenjata di sebuah kedai di Selangor dan Kuala Lumpur pada tahun 2015.

Akibat perbuatan itu, Aidil dijatuhi hukuman penjara enam tahun dengan dua sebatan dan kini masih berbaki dua tahun sebelum dibebaskan.

Menurutnya, setiap kali Aidilfitri dia mahu menemui insan yang pernah disakiti.

"Saya akui banyak perkara (perbuatan) jahat yang pernah saya lakukan sebelum ini...kalau ALLAH beri kesempatan saya mahu jumpa mereka dan memohon kemaafan.

"Banyak sangat dosa yang saya lakukan semata-mata inginkan wang untuk membeli dadah. Tapi kini ALLAH telah buka hati saya untuk berubah seelok-elok manusia," katanya ketika ditemui di PRP Kem Batu 10 Kuantan.

Aidil berkata, perbuatan yang amat disesalinya sehingga kini adalah banyak melakukan dosa dengan kedua orang tuanya.

Katanya, dia langsung tidak mendengar nasihat dan teguran sedangkan orang tuanya memberi sepenuh kasih sayang kepadanya sejak kecil.

"Setiap hari saya menangis bila terkenang ayah dan mak...dulu saya degil, sebab itu saya berada di sini.

"Bila keluar nanti saya mahu jadi anak yang baik pada keluarga saya," katanya.

Bercerita sejarah hitam yang dilaluinya, Aidil berkata, dia melakukan samun di sebuah kedai dengan melarikan wang tunai sebanyak RM7,000 pada 2015 sebelum ditangkap polis tiga tahun kemudian.

Rakannya dikenali Asraf, 25, pula mengakui perbuatan jahat yang pernah dilakukan sebelum ini akan muncul setiap kali menyambut Aidilfitri dalam penjara.

Orang Di Selia (ODS), Asraf (kiri) dan Aidil menjalani hukuman penjara di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 Kuantan.
Orang Di Selia (ODS), Asraf (kiri) dan Aidil menjalani hukuman penjara di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 Kuantan.

Dia yang menerima hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan kerana kesalahan samun berkumpulan dengan kekerasan mengakui akan menitis air mata setiap kali mendengar takbir raya.

"Bila dengar takbir raya dan menunaikan solat Aidilfitri, saya serta rakan-rakan di sini akan menitis air mata," katanya.

Asraf yang berasal dari Selangor berkata, dia mula terlibat dengan penagihan dadah sejak berusia 13 tahun.

Katanya, sebelum ini dia pernah ditangkap polis sebanyak 11 kali namun hanya ditahan beberapa hari sahaja di lokap kemudian dilepaskan berikutan tidak mempunyai bukti kukuh selain dijamin keluarga.

Menurutnya, pada tahun 2016 dia sekali lagi ditangkap polis selepas menyamun RM10,000 daripada seorang lelaki.

"Saya menerima hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan, sebelum ditempatkan di PRP Kem Batu 10 Kuantan saya berada di Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buluh, Selangor serta Penjara Bentong, Pahang.

"Saya kini insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan, banyak dosa dilakukan sebelum ini.

"Didikan agama diterima sepanjang berada PRP Kem Batu 10 Kuantan memberi sinar baru pada saya, Aidilfitri kali ini memberi erti begitu bermakna untuk menjadi manusia berguna selepas ini," katanya yang akan dibebaskan tahun depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!