Penghantaran pulang penuntut dipercepat pada 26 Mei

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Proses penghantaran pulang penuntut yang masih berada di kampus akan dipercepatkan kepada 26 Mei membabitkan seramai 1,480 orang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pengajian Tinggi sudah berbincang dan mendapat persetujuan Malaysia Airlines untuk menyediakan penerbangan bagi menghantar mereka pulang pada hari berkenaan.

"Sebanyak empat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dijadualkan untuk membawa pulang 1,148 penuntut ke kampung halaman masing-masing.

"Juga dijadualkan dua penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur untuk membawa pulang 332 penuntut," katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini proses penghantaran pulang penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampung halaman masing-masing dihentikan susulan sambutan Aidilfitri dan dijadualkan disambung semula pada 28 Mei.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, pejabat kedutaan Malaysia di luar negara sedang mengumpul maklumat rakyat Malaysia yang akan pulang ke tanah air bermula Jun ini.

“Mereka perlu memaklumkan kepada pejabat kedutaan supaya lebih mudah untuk kita pantau dan uruskan kemasukan mereka ke negara nanti.

“Kita tahu bahawa cuti musim panas dari Jun nanti sehingga September, jadi kita tidak tahu berapa ramai akan pulang ke tanah air dan kita sudah pun meminta supaya rakyat kita yang berada di luar negara untuk mendaftar dan memaklumkan ke pejabat-pejabat kedutaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 39,820 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

“Semalam seramai 582 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib dan sehingga hari ini seramai 31,865 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama