X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita dari Cyberjaya belum sah Covid-19

Dr Zaini Hussin
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kesihatan Negeri menafikan penularan dalam media sosial mengenai dakwaan seorang wanita dari Cyberjaya yang baru pulang ke Machang semalam, adalah pesakit Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya telah ke kediaman wanita tersebut malam tadi untuk melakukan saringan kesihatan termasuk mengambil sampel ujian swab mengikut prosedur operasi standard.

"Jabatan Kesihatan sentiasa mematuhi prosedur standard bagi menjaga keselamatan semua pihak dalam proses saringan kesihatan dan pengambilan sampel.

"Kami mendapat kerjasama yang baik dan proses tersebut dilakukan dengan cepat dan sempurna. Jabatan Kesihatan setakat ini tidak boleh sahkan lagi sama ada dia positif atau tidak sehingga keputusan ujian makmal diperoleh," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau mengulas mengenai mesej bersuara memberi amaran supaya semua pihak berjaga-jaga kerana seorang wanita dari Cyberjaya yang positif Covid-19 dikatakan melarikan diri untuk pulang ke rumah keluarganya di Machang, telah tular di laman sosial serta aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada mengiringi pasukan kesihatan untuk melakukan ujian swab di kediaman wanita tersebut, semalam.

Bagaimanapun katanya, ia merupakan tugas sebagai pengiring biasa bukanlah satu serbuan sebagaimana dakwaan yang tular.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus