Arsenal dijangka berdepan kemarau gol

SHAHRIZAL AHMAD ZAINI

Pierre-Emerick Aubameyang
Pierre-Emerick Aubameyang
A
A
A

BAHAGIAN serangan Arsenal dijangka berdepan kemarau gol sekiranya Pierre-Emerick Aubameyang mengambil keputusan meninggalkan kelab London berkenaan.

Menurut bekas tonggak Arsenal, Lukas Podolski, keyakinan itu adalah berdasarkan prestasi semasa Aubameyang yang kini menjadi mesin gol utama kelab itu.

“Pada ketika Aubameyang menjalani musim luar biasa bersama Arsenal, pastinya banyak kelab utama mahukan khidmatnya. Jadi kita tidak boleh salahkan Aubameyang dalam perkara ini.

“Aubameyang tentu mempunyai keinginan untuk beraksi di Serie A ataupun La Liga bersama kelab besar seperti Real Madrid yang dikaitkan dengannya sekarang.

“Semua pemain memiliki keinginan beraksi dengan kelab besar dunia sejak kecil tidak terkecuali Aubameyang tambahan pula pada usianya sekarang," katanya.

Aubameyang jadi mesin gol The Gunners sejak hadir ke Emirates pada Januari 2018 dari gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund.

Musim ini, penyerang skuad antarabangsa Gabon itu sudah menghasilkan 20 gol dari 32 kali penampilan di semua pertandingan.

Momentum positif itu menjadikan beliau antara perhatian Real Madrid apatah lagi kontraknya akan berakhir pada musim panas 2021.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tambah bekas pemain kebangsaan Jerman itu, beliau juga percaya menerusi penjualan Aubameyang akan membolehkan Arsenal memiliki sumber kewangan kuat bagi membeli pemain baharu.

“Tentu saja buat Arsenal, itu akan menjadi satu kehilangan besar tapi inilah bisnes bola sepak.

“Arsenal akan kehilangan Aubameyang tapi kelab mampu menghasilkan wang apabila menjualnya bagi mendapatkan pemain baharu,” katanya.