X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pengawal keselamatan maut nahas empat kenderaan

Keadaan di lokasi nahas melibatkan empat kenderaan yang meragut dua nyawa di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan malam tadi. - Foto JBPM
A
A

TEMERLOH - Dua pengawal keselamatan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini malam tadi.

Nahas kira-kira jam 10.50 malam itu membabitkan sebuah kereta jenis Nissan Almera, Proton Saga, lori jenis Isuzu dan lori jenis Volvo.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, pemandu kereta jenis Nissan Almera, N Umarani, 33, yang beralamat di Kampung Ketari, Bentong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang penumpang kereta sama, G Pusphadevi, 47, beralamat di Batang Berjuntai, Selangor meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab membantu mengeluarkan dua mangsa yang tersepit. - Foto JBPM
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab membantu mengeluarkan dua mangsa yang tersepit. - Foto JBPM

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Nissan Almera dinaiki dua pengawal keselamatan wanita yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketari, Bentong itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, pemandunya dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh lalu terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lori roti jenis Isuzu yang berada di laluan berkenaan," katanya.

Mohd Yusri berkata, kemalangan itu turut menyebabkan sebuah kereta Proton Saga dinaiki lima sekeluarga yang berada di belakang lori cuba mengelak ke kiri lalu terbabas ke bahu jalan menghala ke Kuantan.

"Sementara itu sebuah lagi lori jenis Volvo yang mengekori kereta Proton Saga gagal mengelak sebelum terlanggar belakang kereta itu," katanya.

Keadaan lori dan kereta dinaiki lima sekeluarga selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan malam tadi.
Keadaan lori dan kereta dinaiki lima sekeluarga selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan malam tadi.

Menurutnya, akibat kemalangan, pemandu kereta Nissan Almera disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpangnya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HoSHAS.

"Seorang kanak-kanak, Muhammad Rizza Ezaril Mohd Hamizam, 6, yang menaiki kereta Proton Saga dilaporkan cedera dan turut dihantar ke HoSHAS untuk rawatan lanjut.

"Pemandu kereta Proton Saga dan tiga penumpangnya serta dua pemandu lori yang terbabit nahas itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan memaklumkan, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab bersama sebuah jentera ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Katanya, dua mangsa yang tersepit dalam kereta Nissan Almera berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat dan pemandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Keadaan salah sebuah kereta selepas terbabit kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan malam tadi. - Foto JBPM
Keadaan salah sebuah kereta selepas terbabit kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan malam tadi. - Foto JBPM


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus