X

Kindly register in order to view this article
!

Kisah angin perubahan di Selangor

Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor -Foto Bernama
A
A

SELANGOR merupakan sebuah negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH) sejak Pakatan Rakyat (PR) berjaya merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008.

Sejak kemenangan itu, PH telah mengukuhkan kedudukannya menerusi pelaksanaan beberapa perancangan seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Malah, kedudukan PH di Selangor tampak lebih selesa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila mereka menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pecahan terkini Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak 21 kerusi, DAP 16 kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) memiliki lapan kerusi.

Selain itu, pembangkang di Selangor pula memiliki 11 kerusi dengan pecahan lima wakil UMNO, lima wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang daripada Pas.

Situasi perubahan kerusi itu berlaku selepas parti Bersatu disingkirkan daripada komponen PH Selangor berikutan gabungan tersebut mengambil kira perkembangan politik yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Lima ADUN Bersatu yang kini menjadi pembangkang ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang), Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Shaid Rosli (Jeram), Sallehudin Amiruddin (Kuang) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

Namun begitu, dengan perkembangan runtuhnya pemerintahan kerajaan PH di beberapa negeri baru-baru ini, adakah kedudukan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari masih utuh?

Semua sedia maklum, kerajaan negeri Kedah, Melaka, Johor dan Perak baru-baru ini tumbang dan diambil alih gabungan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN).

Gabungan PN turut dianggotai Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan bekas Timbalan Presiden PKR.

Amirudin menerusi kenyataan terbarunya turut menggesa ADUN PH agar patuh kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menumpukan isu rakyat dan tidak menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

Amirudin
Amirudin

Amirudin berkata, beliau yakin pendirian ADUN PH di Selangor yang kekal menyokong pentadbiran kerajaan negeri sedia ada, namun pihaknya tidak mengambil mudah perkara itu.

“Saya berharap ADUN PH yang mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab, tidak khianat hingga rosakkan pentadbiran negeri,” katanya.

Namun begitu, sejauh manakah pendirian ADUN-ADUN ini untuk kekal bersama PH?

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, menerusi perkembangan politik mutakhir itu, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan tidak mustahil Selangor akan bertukar pentadbiran kerajaan negeri selepas ini.

Beliau berkata, Mohamed Azmin ialah seorang bekas Menteri Besar dan juga Timbalan Presiden PKR, malah beliau turut dilihat memainkan peranan besar dalam konteks politik di Selangor.

“Jadi tak mustahil mereka yang bersama beliau (Mohamed Azmin) akan buat keputusan drastik tapi jika yang keluar hanya daripada PKR, ia masih tak cukup dan perlukan sokongan ADUN lain,” katanya.

Pertembungan

Sivamurugan berkata, perkembangan politik di Selangor buat masa ini lebih tertumpu kepada pertembungan personaliti antara Mohamed Azmin dan Amirudin dalam mencari pengaruh masing-masing.

“Adakah Azmin dapat yakinkan ADUN untuk bersama beliau atau Amirudin sendiri pastikan mereka tidak berubah?

“Disebabkan itulah politik Selangor ini lebih kepada pertembungan personaliti antara Azmin dan Amirudin,” katanya.

Dalam pada itu, penganalis politik, Dr Jeniri Amir berkata, cubaan pihak tertentu bagi menukar pentadbiran kerajaan negeri itu dilihat sukar berikutan jumlah kerusi majoriti yang dimenangi PH pada PRU14.

Namun begitu, beliau memaklumkan, keadaan sebaliknya boleh berlaku jika Amirudin mengubah pendiriannya pada saat akhir dan kembali setia bersama ‘bekas bosnya’ itu.

“Sukar untuk PN ambil alih kerajaan PH. Namun jika Amirudin secara tiba-tiba ubah pendirian dan mempengaruhi penyokongnya, tidak mustahil ia boleh berlaku,” katanya.

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut senada dengan Jeniri apabila berpendapat bahawa kerajaan PH tidak akan goyah walaupun wujud desas-desus usaha bagi pertukaran kerajaan negeri itu.

“PN perlukan sokongan ADUN bukan hanya daripada PKR tapi wakil parti-parti lain juga. Pada saya, usaha itu sukar untuk dilaksanakan,” kata Awang Azman.

Walau apa pun percaturan yang dibuat, PN dilihat berdepan tugas yang cukup sukar untuk menukar pentadbiran kerajaan Selangor yang sudah bertapak sejak 12 tahun lalu.

Buat masa ini, gabungan UMNO, Pas dan Bersatu di Selangor memiliki sejumlah 11 kerusi dalam DUN yang mempunyai 56 kerusi dan pastinya kem Mohamed Azmin perlu bekerja keras bagi meraih sokongan ADUN yang menyokongnya.

Bagaimanapun, PH perlu memastikan setiap ADUNnya walak kepada gabungan tersebut sebagaimana laungan mereka untuk mempertahankan mandat rakyat pada PRU14.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!