X

Kindly register in order to view this article
!

Tetap sokong Dr Mahathir, Mukhriz

Kepemimpinan Mukhriz (kiri) dan Tun Mahathir (kanan) diakui di peringkat pusat dan negeri selain sah dari segi Perlembagaan Bersatu dan dengan yang demikian tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Foto: FB Mukhriz Mahathir FC
A
A

ALOR SETAR - Beberapa Ketua Bahagian Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kedah sepakat menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Mejar Anuar Abdul Hamid berkata, mereka turut menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu negeri itu.

Menurutnya yang juga Ketua Bahagian Bersatu Merbok, kepimpinan mereka di peringkat pusat dan negeri adalah sah dari segi Perlembagaan Bersatu dan tidak wajar dipertikaikan.

"Kami kesal dengan tindakan individu tertentu termasuk sebilangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dalam keghairahan menyatakan sokongan terhadap Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sanggup mengusulkan cadangan memecat Tun Mahathir sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Kedah," katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu turut disertai Ketua Bersatu Bahagian Kubang Pasu,Datuk Amiruddin Hamzah; Ketua Bersatu Bahagian Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat; Ketua Bersatu Bahagian Kulim-Bandar Baharu,

Datuk Azimi Daim; Ketua Bersatu Bahagian Pokok Sena, Muhammad Amri Wahab; Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Jerlun, Datuk A Aziz Mohamud dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Langkawi, Shukor Bahari.

Anuar berkata, semua pihak harus ingat bahawa ketika tercetusnya kemelut kepimpinan, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menolak peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Pengerusi.

Jelasnya, susulan perjumpaan dengan pimpinan parti, Tun Mahathir akhirnya telah menghormati rayuan Majlis Pimpinan Tertinggi supaya beliau kekal sebagai Pengerusi parti tersebut.

"Selayaknya Tun Mahathir kekal menerajui Bersatu sebagai Pengerusi, jawatan yang dipertahankan tanpa dicabar semasa pencalonan pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti.

"Kami mengecam sebarang usaha jahat untuk memecat Tun Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz. Muslihat dan desakan untuk menyingkir kedua-dua pengasas Bersatu ini sangat tidak beretika dan harus ditentang," katanya.

Menurut Anuar lagi, semua pihak berpegang kepada prinsip perjuangan yang mulia, amanah dan menyokong Perlembagaan Bersatu serta menyantuni hasrat ahli akar umbi demi kesejahteraan parti.

"Kami amat berharap kemelut kepimpinan Bersatu dapat diselesaikan dengan tuntas dan bijaksana, yang bersendikan akhlak mahmudah bagi meletakkan semula perjuangan kesemua ahli di landasan yang lurus dan bertepatan dengan cogankata parti iaitu Bersatu, Beramanah, Bermaruah.

"Hanya dengan menolak pengkhianatan dan kembali menyokong perjuangan yang berintegriti dan bermaruah, Bersatu akan dihormati dan disanjungi oleh rakyat Malaysia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus