Bursa ditutup tinggi hari ketujuh berturut-turut

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup tinggi bagi hari ketujuh berturut-turut hari ini apabila minat risiko pelabur terus meningkat terutamanya terhadap saham berkaitan sarung tangan getah, tenaga dan perladangan.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) meningkat 16.99 mata atau 1.18 peratus kepada 1,452.11 -- paras yang kali terakhir dilihat pada Mac tahun ini.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka naik 2.78 mata kepada 1,437.49 daripada paras penutup 1,435.12 pada Rabu dan berlegar antara paras 1,437.13 dan 1,455.13 sepanjang hari dagangan.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata, sentimen positif pelabur itu telah tersebar ke kaunter sarung tangan lain susulan kenaikan saham Supermax pada Rabu.

“Harga minyak mentah dan minyak sawit mentah yang kukuh juga merangsang permintaan terhadap saham berkaitan tenaga dan perladangan,” katanya kepada Bernama.

Supermax, dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam mengumumkan bahawa keuntungan bersihnya meningkat dua kali ganda kepada RM71.06 juta dalam suku ketiga yang berakhir 31 Mac, 2020, daripada RM34.62 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Pada penutup, jumlah dagangan kekal kukuh pada 7.15 bilion saham bernilai RM4.65 bilion berbanding 6.73 bilion saham bernilai RM3.63 bilion sebelumnya.

Leong berkata, jumlah dagangan yang menggalakkan itu disokong oleh peserta runcit dan juga institusi tempatan dan ia dijangka terus tinggi bagi tempoh satu atau dua bulan akan datang.

Artikel Berkaitan:

Dalam kalangan 30 kaunter berkaitan KLCI, pengeluar sarung tangan Top Glove meningkat 86 sen kepada RM11.66 dan Hartalega naik 58 sen kepada RM10.00.

Manakala dalam kalangan saham berkaitan minyak dan gas, Petronas Gas yang juga merupakan kaunter paling untung di bursa tempatan melonjak RM1.94 kepada RM17.12 manakala Petronas Chemicals meningkat 33 sen kepada RM6.17.

Saham berkaitan perdagangan KLK naik 58 sen kepada RM21.86 dan Sime Darby Plantation menokok enam sen kepada RM4.98.

Senarai kaunter paling cergas terus dikuasai oleh saham minyak dan gas serta sarung tangan apabila KNM meningkat setengah sen kepada 22 sen, Velesto susut setengah sen kepada 6.5 sen, Bumi Armada turun satu sen kepada 23 sen, Sapura Energy tidak berubah pada 10 sen manakala Careplus turun setengah sen kepada 94.5 sen.

Selain daripada Top Glove, Hartalega dan KLK, senarai kaunter untung utama turut termasuk Kossan, yang melonjak 93 sen kepada RM8.63 dan Supermax yang naik 81 sen kepada RM5.40.

Senarai kaunter rugi utama diterajui saham pengguna, apabila Nestle turun RM1.10 kepada RM137.50, Dutch Lady susut 56 sen kepada RM45.50 dan F&N jatuh 54 sen kepada RM31.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 141.48 mata kepada 10,305.10, Indeks FBMT 100 naik 143.41 mata kepada 10,149.32 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 199.68 mata kepada 11,751.31.

FBM 70 melonjak 282.88 mata kepada 12,921.07 dan FBM ACE naik 47.55 mata kepada 5,508.58.

Mengikut sekor, Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 120.99 mata kepada 2,019.06 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 99.89 mata kepada 12,548.69.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.40 mata kepada 127.27, Indeks Perladangan meningkat 197.20 mata kepada 6,827.05 tetapi Indeks Tenaga susut 1.80 mata kepada 819.70.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 4.77 billon saham bernilai RM3.90 bilion berbanding 4.69 bilion saham bernilai RM2.98 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 652.84 juta unit bernilai RM145.51 juta daripada 440.28 juta unit bernilai RM95.11 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.72 bilion saham bernilai RM606.32 juta berbanding 1.60 bilion saham bernilai RM553.24 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 538.81 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (810.99 juta), pembinaan (402.51 juta), teknologi (290.31 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (72.44 juta), hartanah (232.06 juta), perladangan (325.64 juta) REITs (7.25 juta), dana tertutup (11,000), tenaga (1.58 bilion), penjagaan kesihatan (115.79 juta), telekomunikasi dan media (195.24 juta), pengangkutan dan logistik (143.51 juta) dan utiliti (54.83 juta).- Bernama