Nelayan hilang ditemukan terdampar di pantai

Mayat Hasrul dibawa baik ke daratan.
A
A

LANGKAWI – Seorang nelayan yang dikhuatiri hilang susulan penemuan bot miliknya yang hanyut tanpa pengemudi ditemukan mati dipercayai lemas di Pantai Selat Bagan Nyior di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd Said berkata, mayat Hasrul Mat Hashim, 41, ditemui terdampar kira-kira jam 9 pagi oleh nelayan di tepi pantai itu.

Menurutnya, Pusat Operasi Maritim (Langkawi) menerima makluman penemuan mayat penduduk Kampung Selat Bagan Nyior itu kira-kira 4.3 batu nautika dari lokasi bot mangsa dijumpai terapung.

“Kita menerima panggilan dari penduduk kampung yang memaklumkan satu mayat terdampar di kawasan pantai dan ia disahkan sebagai nelayan yang hilang oleh isteri mangsa.

”Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan susulan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan kira-kira jam 9.30 pagi,” katanya.

Menurutnya, Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkoordinasi operasi SAR mengucapkan jutaan penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat sepanjang pencarian ini.

“Orang ramai terutamanya komuniti maritim dinasihatkan mengambil langkah persediaan awal ke laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di laut memandangkan cuaca pada masa kini yang tidak menentu.

“Nelayan turut dinasihatkan supaya sentiasa memakai jaket keselamatan setiap kali turun ke laut. Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang nelayan dikhuatiri hilang susulan penemuan bot mencandat sotong tanpa pengemudi berhampiran Pulau Buyong, Langkawi, semalam.

Difahamkan, pemilik bot, Hasrul Mat Hashim, 41, keluar ke laut untuk mencandat sotong pada jam lebih kurang 5:30 petang pada Rabu lepas.