PGU perhebat rondaan undara di Selat Melaka

Kelihatan bot nelayan di perairan Selat Melaka ketika tinjauan udara bersama PGU Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pendatang tanpa izin semalam. - BERNAMA
Kelihatan bot nelayan di perairan Selat Melaka ketika tinjauan udara bersama PGU Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pendatang tanpa izin semalam. - BERNAMA
A
A
A

SUBANG JAYA - Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat memperhebatkan rondaan di Selat Melaka terutama di kawasan dipercayai menjadi 'laluan tikus' pendatang asing tanpa izin untuk masuk ke negara ini.

Tanpa mendedahkan lokasi tumpuan itu, pembantu juruterbang PGU, Asisten Superintendan Mohammad Firdaus Rosli berkata, usaha itu sebahagian daripada Op Benteng yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) terutama melibatkan warga asing.

"Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan di sekitar pesisir perairan negara terutama di Selat Melaka dari Pelabuhan Klang, Selangor hingga ke Tanjung Piai, Johor yang dilihat dijadikan lokasi laluan tikus pendatang asing (tanpa izin).

"Disebabkan itu, enam penerbangan dilakukan sehari oleh PGU manakala penerbangan lain turut dibuat Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sepanjang pesisir Selat Melaka bagi memastikan pendatang asing ini tidak mendarat di negara kita," katanya.

Terdahulu, beliau yang mengemudi pesawat Agusta Westland AW139 bersama tiga kru penerbangan dan wartawan Bernama membuat tinjauan sepanjang pesisir pantai Selat Melaka di sekitar Selangor dan Perak, malam tadi.

Mohammad Firdaus menambah, pendatang asing tanpa izin sering menjadikan waktu air laut sedang pasang iaitu antara 4 pagi hingga 7 pagi dan 6.30 petang sehingga 8 malam sebagai waktu untuk menceroboh masuk dalam negara.

"Walaupun pada waktu berkenaan sangat bahaya, namun ada di antara mereka tetap nekad dan menganggap ia masa terbaik untuk masuk ke dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihaknya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berlaku di kawasan perairan negara, PGU akan memaklumkan rakan penguat kuasa di lautan seperti pasukan Polis Marin dan Maritim Malaysia untuk melakukan pintasan.

Artikel Berkaitan:

"Peranan PGU sebagai 'mata di udara' yang mempunyai skop pandangan udara yang luas di sekitar pesisir pantai memudahkan Polis Marin dan Maritim Malaysia melancarkan serbuan atau pintasan.

Op Benteng diaktifkan di bawah National Task Force yang diterajui oleh ATM, PDRM dan Maritim Malaysia untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19. - Bernama