X

Kindly register in order to view this article
!

Pesara rugi lebih RM400,000 terpedaya taktik 'scammer'

Gambar hiasan. - Foto123RF
A
A

KUANTAN - Seorang pesara sebuah syarikat telekomunikasi kerugian lebih RM420,000 selepas termakan dengan helah ahli sindiket penipuan yang menyamar sebagai kakitangan Telekom dan pegawai polis.

Wanita malang berusia 59 tahun itu terpedaya dengan taktik ahli sindiket terbabit selepas namanya dikaitkan dengan kes perjudian haram berikutan nombor telefon untuk kegiatan itu didaftarkan atas namanya pada 29 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai kakitangan Telekom memaklumkan tentang kes tersebut.

"Mangsa yang menafikan kaitannya dengan nombor telefon dimaksudkan kemudian dirujuk kepada seorang pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan melalui panggilan telefon yang disambungkan.

"Mangsa diarah memindahkan semua wang dalam akaun banknya ke beberapa akaun bank lain yang diberikan sindiket kononnya bagi melindungi wang tersebut semasa proses siasatan," katanya.

Menurutnya, mangsa membuat pemindahan wang secara berperingkat sebanyak 30 kali membabitkan jumlah keseluruhan RM424,650.

"Semasa berurusan dengan pegawai polis berkenaan, mangsa diminta memberikan nombor telefon yang digunakan untuk dihubungi bagi urusan proses siasatan selanjutnya.

"Dia akur dengan arahan itu sebelum dihubungi kembali dan diminta menyerahkan maklumat peribadi termasuk berkaitan akaun bank, jumlah barang kemas, kenderaan dan rumah dimilikinya," katanya.

Katanya, mangsa juga turut menyerahkan maklumat tiga digit nombor di bahagian belakang kad dan tarikh tamat seperti diarahkan kononnya untuk tujuan siasatan.

"Bukan itu sahaja mangsa turut diarah berurusan dengan seorang wanita kononnya pegawai Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa berbuat demikian melalui 30 transaksi pemindahan wang dalam tempoh 29 April hingga 15 Mei lalu membabitkan jumlah transaksi antara RM150 hingga RM30,000," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa menyedari ditipu selepas semua wang dipindahkan dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah semalam.

"Kita sedang mengesan 11 individu termasuk seorang wanita sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus