Menu berasaskan halia jadi pilihan

Hidangan berasaskan halia jadi pilihan.
Hidangan berasaskan halia jadi pilihan.
A
A
A

PAHANG - Mempunyai kepakaran dalam bidang masakan memberi kelebihan kepada Cef Mohd Sakeri Mohd Yunus dalam mempelbagaikan menu masakannya pada bulan puasa.

Berasal dari Temerloh, Pahang, beliau gemar memilih masakan berasaskan halia sewaktu berbuka puasa dan bersahur kerana baginya banyak manfaat yang terdapat dalam herba tradisi itu.

Untuk resipi Ramadan kali ini, Mohd Sakeri berkongsi cara-cara menyediakan menu ayam masak halia.

“Halia diakui dapat membantu mengeluarkan angin dalam badan. Bulan puasa memang sesuai makan masakan berasaskan halia sebab boleh hilangkan rasa sebu perut apabila terlebih makan.

Mohd Sakeri menunjukkan cara-cara menyediakan makanan kepada pelajar-pelajar di universiti.
Mohd Sakeri menunjukkan cara-cara menyediakan makanan kepada pelajar-pelajar di universiti.

“Selain ayam, kita juga boleh menggunakan ikan atau daging untuk masakan ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Mohd Sakeri berkata, selain memberikan aroma wangi, rasa pedas dan penambah rasa dalam masakan, halia juga membantu mem-buang bau hanyir untuk masakan ayam, ikan dan daging.

Sementara itu, lulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dan Diploma Cef daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu ini berkata, beliau kini menyediakan khidmat tempahan makanan kepada pelanggan di sekitar Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Artikel Berkaitan:

AYAM MASAK HALIA

BAHAN A

- 1 ekor ayam - gaul dengan serbuk kunyit dan garam sebelum goreng

BAHAN B

- Sedikit bawang putih

- Sedikit halia

- Bawang besar

- Lada merah dan lada benggala

- sos tiram dan kicap manis

- Sedikit garam dan gula

CARA MENYEDIAKANNYA

- Panaskan minyak. Masukkan bawang putih, halia dan bawang besar. Tumis sehingga naik bau.

- Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng. Tambah sedikit air untuk kuah.

- Masukkan lada merah, lada benggala, sos tiram, kicap manis, sedikit garam dan gula.

- Kacau sebentar dan siap untuk dihidang