Pelita buluh Mak Ngah laris!

Kamsiah menemani anak sulungnya bermain bunga api dengan menggunakan pelita buluh di rumahnya di Kampung Belimbing Dalam.
Kamsiah menemani anak sulungnya bermain bunga api dengan menggunakan pelita buluh di rumahnya di Kampung Belimbing Dalam.
A
A
A

ALOR GAJAH - Memasang pelita buluh pada malam tujuh likur menambahkan seri dan kemeriahan sambutan Aidilfitiri walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ketika ini.

Bertitik tolak dari situ, seorang peniaga asam pedas di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Kamsiah Khamis, 37, tidak melepaskan peluang membuat pelita buluh dan menjualnya memandangkan masih ramai yang gemar pelita buluh atau disebut juga sebagai lampu panjut.

Kamisah berkata, buktinya jualan pelita buluh pada tahun ini secara dalam talian dengan menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram naik berganda berbanding tahun lalu kerana orang ramai berminat membuat pembelian dalam talian berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Sebenarnya dah lima tahun setiap kali Ramadan kami menjual pelita buluh, cuma tahun ini jualan lebih banyak dan berganda untuk kami pos, membuat penghantaran kepada pelanggan di Melaka.

Antara pelita buluh yang terpanjang dihasilkan Kamsiah dan mempunyai lima ruas.
Antara pelita buluh yang terpanjang dihasilkan Kamsiah dan mempunyai lima ruas.

"Mungkin orang ramai lebih berwaspada untuk keluar rumah lebih-lebih lagi pada musim PKPB jadi saya ambil peluang ini untuk membuat jualan secara dalam talian dan alhamdulillah mendapat sambutan," katanya yang mempunyai dua cahaya mata.

Menurutnya, pelanggannya tidak terdiri daripada penduduk sekitar Melaka sahaja dan ada luar dari Melaka termasuk Perak, Johor, Selangor dan sebagainya sehinggakan 800 batang pelita buluh berjaya dijual bermula sejak awal Ramadan lalu.

Katanya, dia bersyukur kerana berkongsi minat sama dengan suami yang menjadi orang penting dalam mencari dan memilih buluh matang untuk dibuat pelita dengan mengambil masa empat hari sebelum dijual kepada pembeli.

Artikel Berkaitan:

Kamsiah yang lebih mesra dipanggil Mak Ngah berkata, biarpun PKPB pergerakan agak terbatas, namun tidak menghalang usaha dia mencari pendapatan sampingan pada bulan Ramadan dengan menjual pelita buluh mengikut panjang ruas sama ada dua ruas mahupun lima ruas dengan harga bermula RM13 hingga RM20 berdasarkan permintaan.

Wanita tersebut berpandangan, pelita buluh masih mempunyai penggemar kerana ia menggamit nostalgia beraya di kampung halaman terutama mereka yang tidak dapat pulang beraya pada kali ini kerana mematuhi arahan kerajaan tidak boleh merentasi negeri.

Kamsiah menunjukkan pelita buluh yang dihasilkan bersama suaminya.
Kamsiah menunjukkan pelita buluh yang dihasilkan bersama suaminya.

"Disebabkan mereka tidak dapat pulang beraya di kampung, jadi pelita buluh dapat menceriakan sambutan lebaran dan mengimbau kembali kenangan mereka yang pernah beraya di kampung," katanya yang berasal dari Duyong, Melaka.

Tambah Kamsiah, terdapat juga pelita buluh yang dibuat penghantaran sekitar negeri ini selain mereka yang datang membeli di warung miliknya, iaitu di Warung Mak Ngah D'Corner yang terletak di kampung sama.

Menurutnya, memandangkan minyak tanah sukar untuk diperoleh, Kamsiah mencadangkan pelanggan menggunakan minyak diesel namun perlu menitikberatkan aspek keselamatan agar tidak berlaku perkara tidak diingini.

Katanya, pelita terbabit boleh bertahan sehingga tiga tahun sekiranya pelanggan mementingkan penjagaan dengan tidak terdedah kepada cahaya matahari selain sering menitiskan air atas buluh tersebut.

"Sekurang-kurangnya pembelian itu dapat menjimatkan pelanggan kerana ia boleh bertahan beberapa tahun, jadi raya akan datang mereka tidak perlu membeli lagi," katanya.