Jalan makin sesak, polis buka lorong tambahan

Keadaan lalu lintas berdekatan tol Bentong sekitar jam 3 petang tadi.
Keadaan lalu lintas berdekatan tol Bentong sekitar jam 3 petang tadi.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang membuka beberapa lorong tambahan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dari arah Bentong menghala ke Kuala Lumpur pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, keadaan lalu lintas pada masa kini tenang dan lengang di kedua-dua arah.

Menurutnya, aliran trafik menghala ke Kuala Lumpur meningkat berikutan pertambahan pengguna jalan raya dari beberapa daerah di Pahang seperti Temerloh, Maran, Jerantut, Kuantan, Lipis dan Raub serta dari Kelantan.

"Sememangnya berlaku kesesakan lalu lintas, tetapi kita berjaya atasi dengan membuka lorong tambahan di sekatan jalan raya disebabkan permohonan rentas negeri yang banyak. Pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan menerima banyak permohonan rentas negeri (inter state), tetapi kebanyakannya tidak mempunyai alasan kukuh.

"Sebagai contoh permohonan nak raya bersama ibu bapa, permohonan dengan alasan nak makan masakan ibu dan ada yang mengatakan tak pernah tak raya di kampung.

"Bagi alasan-alasan sebegini, polis terpaksa membuat siasatan terperinci sebelum memberikan kelulusan atau menolak permohonan," katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman memuat naik ciapan di laman Twitter berhubung kesesakan lalu lintas yang berlaku di Bentong.

"Video terkini dari dari Ketua Polis Bentong saya terima sekitar jam 3.00 hingga 3.15 petang tadi mendapati keadaan jalan raya kembali lengang," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai terus membuat laporan polis jika terdapat kesesakan di mana-mana lebuh raya mahupun jalan raya Persekutuan di negeri ini bagi membolehkan polis menghantar Pasukan Gerak Cepat Trafik untuk memulihkan kesesakan tersebut.