'Sugu Pavithra' dapat gaji sulung sebagai YouTuber

IPOH - Penantian pasangan YouTuber suami isteri sensasi yang menggunakan nama 'Sugu Pavithra' untuk mendapatkan gaji daripada laman YouTube sejak Januari lepas berakhir hari ini.
S. Pavithra, 28, datang ke Pejabat Pos Besar Perak di sini dari Sungai Siput untuk membuat tuntutan bayaran gaji tertunggak itu sebaik menjadi rakan YouTube (YouTube Partner) dengan penuh kegembiraan dan berbekalkan beberapa perancangan untuk keluarga tersayang.
Ibu kepada dua anak yang berasal dari Buntong di sini berkata, gaji sulung sebagai YouTuber itu antaranya akan digunakan untuk membeli pakaian baharu buat dirinya serta ahli keluarga yang lain.
"Kami bukan orang senang. Sekarang dah dapat gaji walaupun tak banyak seperti yang heboh orang bincang di media sosial, tetapi saya dan suami sangat gembira kerana lama menunggu dengan penuh sabar.