Hadiah ulang tahun ke-50 UKM

Universiti Kebangsaan Malaysia
Universiti Kebangsaan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ulang tahun ke-50 penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disambut pada semalam pastinya menjadi sejarah paling bermakna kerana kemampuan universiti ini diasaskan sebagai sebuah 'universiti rakyat'.

Lebih membanggakan, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar menegaskan universiti itu turut berjaya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk percambahan pemikiran saintifik, menyalurkan idea-idea dan pemindahan pengetahuan.

"Kini UKM yang berada di tangga 160 diiktiraf sebagai antara universiti satu peratus teratas di dunia dalam QS World University Rankings 2019/2020," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdul Wahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, UKM juga berjaya menghasilkan lebih 200,000 graduan berkualiti dalam pelbagai bidang sejak tempoh 50 tahun penubuhannya.

Menurutnya, kejayaan itu termasuk melahirkan lebih 11,000 graduan perubatan yang merupakan jumlah teramai dalam negara.

"Sejak 50 tahun penubuhannya, UKM telah menghasilkan lebih 200,000 orang graduan berkualiti dalam pelbagai bidang termasuklah lebih 11,000 graduan perubatan, yang teramai dalam negara kita.

"Antara Alumni Fakulti Perubatan UKM termasuklah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim dan ramai lagi doktor pakar ternama," katanya.

Selain bidang perubatan, Abdul Wahid mendedahkan, ramai Alumni UKM kini berkhidmat dalam pelbagai kerjaya seperti Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Akauntan Negara, Dr Yacob Mustafa; Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacob; Naib Presiden Eksekutif Kanan Tencent Holdings, En Lau Seng Yee dan Penasihat The Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain menghasilkan modal insan berkebolehan untuk negara, UKM juga banyak mempelopori kajian dalam pelbagai bidang termasuklah dalam terapi perubatan sel stem, inovasi reka bentuk kaki palsu, inovasi variati tumbuhan baharu, peranti mikroelektromekanikal, teknologi tenaga dan pengurusan alam sekitar lestari dan pelbagai lagi.

"Tahniah kepada seluruh warga UKM atas sambutan Jubli Emas UKM ini dan terima kasih juga kepada semua rakyat Malaysia atas segala sokongan yang telah diberikan kepada UKM sepanjang perjalanan 50 tahun ini.

"Kami berharap akan terus mendapat sokongan anda demi mencapai wawasan UKM untuk menjadi universiti terkehadapan yang mendahului langkah masyarakat dan zamannya bagi membentuk masyarakat dinamis, berilmu dan berakhlak mulia.

"Semoga universiti kita terus berjaya sebagai sebuah universiti nasional ke tahap yang lebih tinggi lagi pada masa yang akan datang, Insya-ALLAH," katanya.

Mohd Hamdi
Mohd Hamdi

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Datuk Ir Mohd Hamdi Abd Shukor menyifatkan hari ulang tahun universiti itu hari ini merupakan hari amat bersejarah buat UKM bahkan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Menurutnya, meskipun sambutan jubli emas penubuhan UKM ini berlangsung dalam keadaan normal baharu tanpa majlis atau perhimpunan seperti lazimnya, namun penghargaan dan sanjungan kepada para tokoh pengasas, pelopor dan pendukung perjuangan penubuhannya tetap dizahirkan dengan setulusnya.

"Maju ke hadapan pasca 50 tahun ini, UKM menyasarkan untuk menjadi Universiti Bertaraf Dunia menjelang 2025.

"Dalam usaha mencapai sasaran ini UKM telah menerapkan elemen-elemen kualiti dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, pengantarabangsaan, bakat dan kewangan," katanya.

Ir Mohd Hamdi berkata, melalui asas kualiti tersebut, UKM kini telah memulakan pembudayaan berprestasi tinggi kepada seluruh warganya dalam menjajarkan usaha untuk mencapai sasaran tersebut.

"Harapan saya agar segala usaha UKM ini dipermudahkan agar kita dapat terus mempertingkatkan kegemilangan UKM untuk dekad seterusnya," katanya.

Sehingga konvokesyen ke-47 yang lalu, UKM telah melahirkan keseluruhan seramai 204,857 graduan.

Bilangan keseluruhan pelajar UKM pada ketika ini adalah kira-kira 25,000 membabitkan 16,000 pelajar prasiswazah dan 9,000 pelajar pascasiswazah.

Bilangan kakitangan UKM termasuk hospital adalah hampir 10,000 orang melibatkan 2,000 tenaga pengajar akademik, 1,300 kakitangan pengurusan dan profesional serta 6,000 staf sokongan.