Khidmat Najib diperlukan bantu pulih ekonomi

A'zlan Abu Bakar
A'zlan Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Khidmat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai pengalaman luas dalam mentadbir negara diperlukan dalam pelan pemulihan ekonomi pasca koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Aktivis Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A'zlan Abu Bakar berkata, Najib ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan telah meletakkan ekonomi negara dalam keadaan selamat dan kukuh di saat dunia berdepan kegawatan ekonomi.

Menurutnya, hujah itu disokong oleh Bank Dunia yang turut memuji langkah kerajaan yang menyatakan ekonomi Malaysia berkembang dari kedudukan kukuh ketika itu.

"Dalam situasi Covid-19 ini, kerajaan perlu pantas dan tepat dalam setiap keputusan yang dibuat untuk memastikan rakyat dan negara terlepas daripada perangkap kemelesetan ekonomi.

"Tuntut merasakan wajar untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan mereka yang berpengalaman dan pakar dalam menghadapi situasi penyelesaian masalah ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kemelesetan global yang teruk pada 2009 turut memberikan kesan di Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan kebergantungan kepada perdagangan antarabangsa, sekali gus memperlihatkan eksport negara menurun 20 peratus, manakala ekonomi menguncup ketara sebanyak 6.2 peratus pada suku pertama tahun 2009.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan Najib berjaya menyelamatkan negara daripada melalui kemelesetan teruk seperti berlaku pada 1997.

Katanya, situasi sama akan berulang jika penyelesaian akibat Covid-19 tidak diurus dengan baik, namun percaya kerajaan sedar pembaharuan yang perlu dilakukan dalam kehidupan normal baharu bagi mencorakkan pergerakan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"Penglibatan Najib bersama kerajaan sekarang akan menjadikan perancangan ekonomi yang menyeluruh dan berhemah bagi sebuah pelan tindakan dengan petunjuk prestasi utama dan hasil dalam memastikan kita terus berada di landasan yang tepat," katanya.