Jangan biarkan etnik Uighur terus ditindas!

Kira-kira 11 juta masyarakat Uighur berdepan dengan penindasan di tanah air sendiri.
Kira-kira 11 juta masyarakat Uighur berdepan dengan penindasan di tanah air sendiri.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) meminta negara-negara Islam dunia mengadakan perbincangan secara khusus untuk membantu etnik Uighur yang kini berdepan penindasan teruk pemerintah China.

Pengerusi Penasihatnya, Dr Suhazeli Abdullah berkata, pembersihan etnik yang dilakukan pemerintah negara itu terhadap etnik berkenaan memerlukan pembelaan dari negara-negara luar khususnya negara Islam.

Katanya lagi, pelanggaran hak asasi manusia itu jelas berlaku terhadap masyarakat Uighur apabila bukan sahaja hak mereka dinafikan, malah turut diperlakukan dengan kejam.

“Saya juga mencadangkan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu penindasan yang jelas melanggar hak asasi manusia ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Konflik Uighur: Kenapa dunia Islam masih membisu?]

“Isu ini bukanlah baharu dialami etnik Uighur tetapi telah berlarutan sejak sekian lama dan kini semua pihak perlu bangkit membantu masyarakat Islam yang ditindas ini.

“Ia bukan soal kita ingin mencampuri urusan negara lain tetapi lebih kepada nilai-nilai kemanusiaan yang harus diperjuangkan semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Suhazeli yang juga anggota Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Cakna Darul Iman (Iman Care) lagi, isu Uighur merupakan isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat dunia.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kita sebut isu kemanusiaan atau hak asasi manusia ia merupakan perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak tanpa mengira agama dan juga bangsa.

“Kita bukan ingin bermain sentimen agama, tetapi hasrat kita adalah untuk melihat penindasan terhadap etnik Uighur ini dapat diselesaikan dengan segera dan memastikan masyarakat itu dapat menikmati kehidupan tanpa sebarangan kekangan,” katanya.

Kehidupan kira-kira 11 juta etnik Uighur yang menetap di Xinjiang semakin tertekan selepas pemerintah negara itu secara berterusan cuba untuk menghilangkan identiti masyarakat tersebut.

Keadaan ini memperlihatkan masyarakat berkenaan cuba dihapuskan di negeri tanah kelahiran sendiri meskipun bergelar warganegara China.