X

Kindly register in order to view this article
!

Qiamullail bertemankan cahaya lilin

Ilya (kanan) bersama anggota kumpulan Senario kini sibuk menjalani rakaman program khas raya untuk RTM.
A
A

IPOH - Pengalaman menghidupkan malam Ramadan dengan aktiviti qiamullail ketika bekalan elektrik terputus meninggalkan kenangan manis buat pelakon dan pelawak, Ilya Buang.

Ilya, 53, yang lebih dikenali sebagai Pak Ya berkata, peristiwa itu dilaluinya pada zaman remaja bersama beberapa rakan sekolah di sebuah masjid dekat Chemor di sini.

Menurutnya, selesai sahaja solat sunat tarawih, beliau dan lima rakannya terus berkumpul di masjid sambil menantikan kehadiran seorang ustaz dari sekolah mereka bagi mengerjakan qiamullail bersama pada malam tersebut.

“Tunggu punya tunggu, ustaz tak muncul-muncul juga. Nak dijadikan cerita, malam itu jugalah berlaku blackout menyebabkan satu pekan bergelap.

“Sampai lewat malam ustaz tak sampai juga. Akhirnya kami pakat-pakat buat qiamullail sendiri berbekalkan cahaya lilin,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ilya yang berasal dari Kampung Che Zainal, Chemor berkata, lebih melucukan apabila ustaz itu sendiri rupa-rupanya tidak tahu-menahu program qiamullail yang mereka rancangkan.

“Itulah pandai-pandai nak buat program sendiri, alih-alih jadi le ghupe itu,” katanya dalam dialek pekat Perak.

Peristiwa tersebut masih terpahat dalam ingatannya sehingga kini setiap kali teringatkan rakan-rakan yang rajin pergi ke masjid.

Menyebut beberapa nama rakan karibnya iaitu Mandor, Hashim, Gee dan Mi Peah, beliau berkata, mereka masih berhubung namun jarang berjumpa dek kesibukan masing-masing.

Beliau berkata, tradisi bermain mercun dan bunga api bagi meraikan Aidilfitri turut meninggalkan kenangan buatnya.

Gara-gara terlalu teruja bermain mercun, beliau menjadi mangsa lecur hingga meninggalkan bekas parut pada kaki dan badan.

“Kejadian itu berlaku dua kali ketika saya di sekolah rendah.

“Ketika masih darjah satu, tengah seronok-seronok main bunga api, tak habis lagi main, bunga api terlepas dan jatuh atas kaki.

“Kemudian ketika saya darjah empat, sedang tengok kawan-kawan main mercun, tiba-tiba satu daripada mercun padi yang dibaling rakan terpelanting masuk ke dalam baju saya. Tak sempat nak buat apa-apa, sampai berlubang jugalah baju tersebut.

“Sampai sekarang parut kesan melecur di badan dan kaki itu masih ada,” katanya.

Sementara itu, Ilya berkata, seperti kebanyakan artis lain, jadual karier beliau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga diperlahankan.

Sebaik sahaja pentas Sepahtu Live tamat pada Mac lalu, beliau terlibat pula dengan rakaman program khas raya untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama kumpulan Senario.

“Selepas beberapa tahun, ini pertama kali saya bergabung dengan Senario untuk program raya,” katanya yang turut memberikan tum-puan kepada perniagaan restorannya, Daporridge di Seksyen 9, Bangi, Selangor.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus