X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Chini: BN rangka SOP kempen baharu

Annuar ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada imam di Darul Saodah di sini hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) sedang menyusun kaedah terbaharu untuk berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang bersesuaian dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, kaedah yang bakal diguna pakai adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada lagi kaedah kempen terdahulu digunakan seperti perhimpunan dan perarakan.

“Dalam situasi normal baharu, kita sedang menyusun beberapa SOP kempen diketuai oleh saya sendiri menggunakan banyak kaedah terbaharu dan ia tidak lagi berasaskan kepada perhimpunan ramai.

"Malah kita sedang menimbangkan kaedah terbaharu untuk penamaan calon pada kali ini yang mana, BN berkemungkinan tidak mengikut normal biasa seperti perarakan serta perhimpunan,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada Imam di sekitar Parlimen Ketereh di Darul Saodah di Kampung Chengal hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai calon, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan membayangkan sudah mempunyai calon sesuai daripada UMNO yang akan bertanding bagi PRK kali ini.

Katanya, soal siapa calon akan diputuskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedikit masa lagi dan diumumkan selepas mendapat perakuan daripada Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merangkap Pengarah PRK DUN Chini.

"Soal calon kita tidak ada masalah. Kita telah berbincang di peringkat BN dan memutuskan untuk meletakkan calon dari BN. Perkara yang sama telah dibawa ke Muafakat Nasional dalam mesyuarat baru-baru ini.

"Hasil perbincangan tersebut, kedua parti (UMNO dan Pas) bersetuju untuk meneruskan kerjasama dan memberi sokongan kepada calon daripada BN," katanya.

SPR menetapkan PRK DUN N23 Chini pada 4 Julai 2020, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 20 Jun serta tarikh mengundi awal pula 30 Jun.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Allahyarham mewakili BN mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus