Calon TYT: Terserah kebijaksanaan Agong, Majlis Raja-Raja

Ab Rauf
Ab Rauf
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja untuk menentukan calon Yang Dipertua (TYT) Negeri Melaka yang baharu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu termasuk beberapa senarai calon lain, selain nama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam bagi menggantikan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang akan tamat tempoh pelantikannya pada tahun ini.

"Saya tak tahu apa-apa senarai nama ke itu pejabat Ketua Menteri yang putuskan," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka menyempurnakan sumbangan telur kepada penduduk di DUN Pantai Kundor di Taman Tangga Batu Permai di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Difahamkan, selain nama Mohd Ali, terdapat dua lagi nama yang turut disenaraikan bagi mengisi pelantikan itu dan sebelum ini nama Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim pernah disebut-sebut ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas mengenai tindakan PH yang akan memfailkan saman pemula bagi mencabar kedudukan beliau sebagai Speaker, Ab Rauf berkata, pelantikan itu dibuat mengikut lunas-lunas perundangan dan peraturan mesyuarat persidangan DUN.

"Sekiranya ada mereka yang tidak berpuas hati, jika diminta pihak mahkamah untuk menghadirinya pihak kami juga terbuka untuk bersama mempertahankannya," katanya.

Artikel Berkaitan: