Pagi pecah rumah, petang dah kena tangkap

Suspek ditangkap bersama barang kes bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Bandar Country Homes, semalam.
Suspek ditangkap bersama barang kes bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Bandar Country Homes, semalam.
A
A
A

RAWANG - Dua lelaki berumur 26 tahun dan 35 tahun ditahan polis dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah di Bandar Country Homes di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis menerima laporan daripada seorang pengadu selepas rumahnya dipecah masuk sekitar jam 9 pagi.

"Pengadu mendapati biliknya dalam keadaan berselerak dan terdapat kesan umpil pada jeriji dan pintu belakang rumahnya sebaik dia bangun daripada tidur.

"Pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesan dua lelaki masuk ke rumahnya dan mengesyaki barangan miliknya telah dicuri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu menurutnya, polis membuat rondaan di kawasan Fasa 10 Bandar Country Homes kira-kira jam 6.30 petang.

"Seorang lelaki yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan ditahan untuk siasatan.

"Suspek kemudian membawa polis ke Flat Palma Bandar Country Homes untuk menahan seorang lagi suspek yang terlibat dalam kes itu," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai dua dan empat rekod jenayah ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kami turut merampas barang kes termasuk satu unit lap top jenis Toshiba, powerbank dan barangan peribadi suspek," katanya.