Nekbat juadah wajib orang Terengganu

Maimun dan suami menunjukkan nekbat yang siap dibakar.
Maimun dan suami menunjukkan nekbat yang siap dibakar.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kuih nekbat yang merupakan makanan tradisi masyarakat Pantai Timur khususnya Terengganu adalah antara juadah wajib setiap kali bulan Ramadan.

Maka, tidak hairanlah pasangan suami isteri dari Kampung Tualang, Manir di sini tidak menang tangan menghasilkan sehingga kira-kira 4,000 nekbat sehari bagi menampung permintaan yang tinggi.

Walaupun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu, permintaan untuk nekbat yang dihasilkan Maimun Embong, 50, dan suaminya, Ngah Embong, 52, tidak terjejas.

“Saya menghasilkan nekbat sejak 17 tahun lalu dan saya merupakan generasi ketiga keluarga yang meneruskan perusahaan ini.

“Biasanya saya akan menghasilkan nekbat hanya pada Ramadan dan akan membuatnya mengikut tempahan pada bulan-bulan biasa,” katanya.

Maimun berkata, beliau dan suaminya akan memulakan rutin membuat nekbat sebaik sahaja selesai solat Subuh sehingga jam 11 pagi di kediaman mereka.

“Nekbat biasanya tahan sehingga tiga hari pada suhu bilik dan tahan lama sehingga setahun jika diletakkan di tempat sejuk beku.

“Saya menjual lima biji nekbat pada harga RM1 dan untuk 100 biji pada harga RM20. Biasanya pelanggan membuat tempahan awal sebab nekbat cepat habis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, disebabkan permintaan yang tinggi, beliau dan suami beralih menggunakan ketuhar yang besar bagi menggandakan jumlah nekbat yang dihasilkan.

“Sebelum ini kami hanya mampu menghasilkan 2,000 nekbat sehari guna dapur kayu, sekarang saya dapat tingkatkan pengeluaran kepada 4,000 nekbat dengan menggunakan ketuhar,” kata beliau.

Nekbat
Nekbat

NEKBAT

BAHAN-BAHAN

- 3 biji telur ayam

- 125 gram tepung gandum atau tepung beras

- Sedikit pewarna kuning

CARA MENYEDIAKANNYA

- Pukul telur sehingga kembang

- Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil kaup balik agar aduan telur tidak jatuh.

- Sapu acuan guna minyak dan bakar pada suhu 200 darjah Celsius selama 15 minit.

BAHAN SIRA

- 2 gelas air

- 10 sudu gula

- 1 atau 2 helai daun pandan

CARA MENYEDIAKANNYA

- Masukkan air, gula dan daun pandan

- Masak sehingga mendidih.

- Masukkan nekbat dan siap untuk dihidangkan