Fatehah, Farina berdepan penyingkiran

No Image Caption
A
A
A

RATU berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa berdepan risiko digugurkan daripada skuad kebangsaan susulan kemerosotan prestasinya.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab berkata Fatehah kini berada dalam pemerhatian selepas pelumba kelahiran Terengganu berusia 29 tahun itu gagal menampilkan aksi membanggakan pada Kejohanan Trek Asia di Jakarta, minggu lalu.

Beliau berkata, selain Fatehah, seorang lagi pelumba wanita, Farina Shawati Mohd Adnan, turut berdepan nasib sama dan kedua-dua mereka tidak akan dihantar mengikuti latihan intensif di Melbourne, Australia, selain tidak akan beraksi dalam Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia 2019 di Belanda, Mac ini.

“Sekiranya mereka terus gagal menunjukkan peningkatan prestasi, mereka akan terpaksa digugurkan,” ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berbasikal bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Fatehah yang merangkul pingat emas acara keirin Kejohanan Asia 2012 dan pecut (2013) hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan pada final keirin di Jakarta sementara Farina terkandas pada pusingan repechage acara sama.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 itu sebelum ini turut mendapat kritikan susulan prestasi terumbang-ambing di pentas antarabangsa termasuk di Sukan Komanwel 2018, April tahun lepas selain digugurkan daripada skuad negara ke Sukan Asia 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: