Tiga wanita ditahan maki polis tegur main mercun

Sisa mercun yang ditemui di lokasi dipercayai dibakar dan dibaling salah seorang wanita yang ditahan.
Sisa mercun yang ditemui di lokasi dipercayai dibakar dan dibaling salah seorang wanita yang ditahan.
A
A
A

KUANTAN - Tiga wanita ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat dan menghalang tugas pegawai polis yang menegur salah salah daripada mereka kerana bermain mercun di hadapan sebuah rumah di Taman Seri Bera, Kerayong malam semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsuddin berkata, insiden itu berlaku ketika sepasukan polis yang sedang menjalankan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi tersebut ternampak seorang wanita sedang membakar mercun di hadapan sebuah rumah.

"Salah seorang pegawai mendekati wanita itu dan menasihatinya supaya tidak bermain mercun, namun teguran itu dibalas dengan kata-kata kesat.

"Seorang lagi wanita yang tiba di lokasi dengan menaiki sebuah kereta keluar dan turut memaki polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, perbuatan sama turut dilakukan seorang lagi wanita yang muncul dari rumah berkenaan.

"Ketiga-tiga wanita berusia 21 hingga 45 tahun itu ditahan kerana enggan bekerjasama dan menghalang polis menjalankan tugas dan mereka direman selama tiga hari bermula hari ini

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak bermain mercun atau sebarang bahan letupan kerana ia menyalahi undang-undang dan boleh membahayakan diri serta orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga diminta akur dan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan bukan bertindak biadab dengan mengeluarkan kata-kata kesat abila ditegur. Jangan kerana mulut badan binasa," katanya.