Jangan main mercun hingga ganggu jiran

Hussein Omar Khan menyantuni pengguna jalan raya ketika Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Khamis.
Hussein Omar Khan menyantuni pengguna jalan raya ketika Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Jangan bakar mercun sehingga bahayakan nayawa, ganggu ketenteraman orang lain, itu amaran terhadap individu yang bermain bunga api dan mercun ketika Aidilfitri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu yang bermain mercun diminta agar sentiasa mematuhi aspek keselamatan.

"Kita sedia maklum terdapat kebenaran berkaitan mercun dan bunga api mengikut peraturan ditetapkan namun pada masa sama perlu dititikberatkan soal keselamatan diri serta orang ramai.

"Jangan main mercun sehingga ganggu orang awam, akibatkan kebakaran harta benda atau akibatkan kecederaan diri dan orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Khamis.

Dalam pada itu, Hussein berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bermain mercun sehingga menimbulkan gangguan terhadap orang lain.

"Rondaan dan pemantauan akan sentiasa dijalankan bagi memastikan tiada berlakunya pelanggaran undang-undang berkaitan pembakaran mercun.

"Setakat ini ada beberapa laporan diterima melibatkan kes individu yang cedera di Gombak dan tindakan seorang individu yang bermain mercun di tengah jalan raya, tindakan telah diambil berhubung kedua kejadian tersebut," katanya.

Hussein Omar Khan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Khamis.
Hussein Omar Khan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Khamis.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menyambut Aidilfitri ini dengan suasana yang selamat tanpa mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

"Bergembiralah pada Aidilfitri ini dengan selamat, jangan bakar mercun sehingga ganggu jiran berdekatan," katanya.

Pada Ahad, Polis Diraja Malaysia(PDRM) mengumumkan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang bermain mercun melebihi jam 12 tengah malam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336] yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

"Tindakan tegas terhadap individu yang didapati sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.