Calon MB Kedah: Pas atau Bersatu lebih layak?

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib
A
A
A

ALOR SETAR - Sejurus Perikatan Nasional Kedah dibentuk, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan hanya satu nama calon Menteri Besar akan dipersembahkan kepada Sultan Kedah untuk dipertimbangkan.

Urusan terbabit diputuskan di peringkat tertinggi tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mewujudkan suasana harmoni dalam gabungan itu, namun wujud desas-desus mengatakan Bersatu enggan mengalah di Kedah dan mahu kerusi Menteri Besar dikekalkan kepada parti itu.

Carik-carik bulu ayam ini perlu segera dimuktamadkan bagi memastikan kestabilan Perikatan Nasional Kedah selepas mengambil alih kuasa agar Perikatan Nasional tidak terkena tempias badi Pakatan Harapan (PH) yang hanya sempat mentadbir selama 22 bulan sahaja.

Mengupas kemungkinan ini, penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, dalam perspektif geo politik Kedah sekiranya Pas sanggup berkompromi dan bertindak wajar seperti di Perak, ia akan menyelesaikan isu berbangkit iaitu mahukan sebuah kerajaan Perikatan Nasional dibentuk selari dengan peringkat Pusat.

Menurutnya, namun pemilihan calon Menteri Besar dirujuk kepada presiden parti-parti peringkat Pusat dan ini adalah langkah terbaik.

"Polemik jawatan Menteri Besar harus diselesaikan dengan baik. Dari pengamatan, ia seolah persaingan antara Pas dan Bersatu yang pastinya mahu kekalkan kerusi itu kepada partinya, manakala Pas disebabkan kedudukan kerusi terbanyak di DUN Kedah," katanya.

Katanya, sekiranya mengambil kira aspek ketokohan dan pengalaman sebagai keutamaan semestinya calon dari Bersatu akan diberikan ruang mengekalkan kerusi itu atas faktor parti yang menyandang jawatan nombor satu itu.

"Jika ditolak calon dari Bersatu, ia seolah menafikan kewujudan parti itu yang turut berjasa terhadap kewujudan Perikatan Nasional dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak sehaluan dengan Presiden partinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pilihan lain bertumpu pada ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail antara 'senior' dan berpengalaman luas dalam dan luar negara, selain mahir selok-belok pentadbiran kerajaan malah pernah mengetuai misi diplomatik Malaysia di Taiwan selaku Presiden di Malaysian Friendship and Trade Centre, Taipei," katanya.

"Beliau juga pernah menjadi Exco Kanan dan pengalaman itu wajar digunakan Perikatan Nasional jika mahu Kedah mempunyai daya saing tinggi dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Dalam menguruskan hal ehwal rakyat, sebuah kerajaan yang diyakini menerusi ketokohan kepimpinan wajar dipertimbangkan.

"Apa guna tukar kerajaan jika tokoh MB Kedah yang dipilih tidak sejajar dengan nilai karisma dan ketokohan sebaliknya hanya melihat kepada komposisi kerusi ia seolah dominasi yang rigid," katanya.

Md Shukri berkata, atas asas politik profesional, wajar dipertimbangkan seorang tokoh berwibawa dan berkelayakan dalam pendidikan, pengalaman serta berkemahiran profesional untuk menerajui Kedah.

"Bagi parti dominan seperti Pas, ia tidak perlu dilihat keterlaluan untuk mendominasi kerusi MB atas alasan mereka mempunyai bilangan ADUN paling ramai, beri ruang untuk toleransi.

"Ramai melihat ADUN dari Bersatu mungkin wajar dikekalkan namun kata pemutus terletak pada pemuafakatan tiga presiden parti Perikatan Nasional," katanya.

Menurutnya, pemimpin parti perlu bertolak ansur dan beradab tinggi, dengan menunjukkan sikap sebagai pemimpin yang lebih mementingkan rakyat.

"Saya yakin Pas faham situasi tambahan pula Pas sudah ada Kelantan dan Terengganu serta jawatan di Pusat tumpukan untuk memajukan negeri berbanding kerusi MB. Pas boleh diberikan kerusi Exco Kanan dan mungkin lima jawatan Exco menjadikan enam ADUN Pas dalam Kabinet Kedah selebihnya diagih kepada tokoh kalangan ADUN lain," katanya.