UMNO, Pas adakan sesi perbincangan khas petang tadi

Pucuk kepimpinan parti UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (enam dari kiri) dan kepimpinan Pas diketuai Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (enam dari kanan) mengadakan satu perbincangan khas di ibu pejabat Muafakat Nasional hari ini.
Pucuk kepimpinan parti UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (enam dari kiri) dan kepimpinan Pas diketuai Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (enam dari kanan) mengadakan satu perbincangan khas di ibu pejabat Muafakat Nasional hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan satu perbincangan khas diadakan di antara kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas di pejabat Muafakat Nasional di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Menerusi laman sosial Facebook, Ahmad Zahid berkongsikan gambar-gambar pertemuan beliau bersama kepimpinan UMNO lain seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin serta Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Delegasi kepimpinan Pas yang hadir dalam perbincangan khas itu terdiri daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan serta dua Naib Presiden Pas iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Idris Ahmad.

Bagaimanapun, Ahmad Zahidi menerusi laman sosial Facebook beliau tidak menyatakan tujuan sebenar perbincangan khas itu diadakan.

"Alhamdulillah. Petang ini dapat laksanakan perbincangan khas kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas di pejabat Muafakat Nasional, Tingkat 36, PWTC," katanya menerusi hantaran dimuat naik pada jam 6 petang tadi.

Perbincangan khas di antara kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas di pejabat Muafakat Nasional hari ini.
Perbincangan khas di antara kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas di pejabat Muafakat Nasional hari ini.

Hantaran Facebook yang dikongsi Ahmad Zaid mendapat sukaan lebih 5,600 warganet, 526 komen serta hampir 500 perkongsian setakat jam 9 malam tadi.

Terdahulu, Annuar dalam satu sidang media menjelaskan terdapat satu pertemuan tidak rasmi di antara BN dan UMNO serta Pas pada hari ini bagi membincangkan kerjasama politik di bawah Muafakat Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: BN bersama Muafakat Nasional hadapi PRK DUN Chini

Menurutnya, calon BN bagi menghadapi PRK itu dijangka merupakan wakil UMNO dan parti itu memutuskan untuk meneruskan kerjasama politik di bawah entiti Muafakat Nasional berbanding Perikatan Nasional.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, dari parti UMNO pada 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Abu Bakar mempertahankan DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan Mohd Razali Ithnain (Parti Keadilan Rakyat) dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari Pas.

Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU11 pada tahun 2004.

Chini adalah satu daripada empat kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan yang disandang oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.